Perais mohon kerajaan sedia Geran Perniagaan Khas untuk OKU

KUCHING: Persatuan Anak Istimewa Sarawak (Perais) memohon agar Kerajaan Sarawak dapat mempertimbangkan bantuan untuk Orang Kurang Upaya (OKU) yang menerima Geran Khas Prihatin (GKP).

Presidennya Rapelson Richard Hamit berkata, mereka menerima aduan bahawa terdapat OKU penglihatan yang pernah mendapat Bantuan Khas Sarawaku Sayang (BKSS) bulanan pada tahun lalu tidak layak menerimanya tahun ini.

“Ia mungkin disebabkan mereka juga penerima GKP dan tidak layak untuk mendapatkan BKSS serta Bantuan Prihatin Rakyat (BPR).

“Oleh itu, saya memohon Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan untuk mempertimbangkan bantuan untuk golongan tersebut,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, beliau juga menyeru kerajaan negeri agar menyediakan Geran Perniagaan Khas bagi membantu OKU yang berniaga.

“Ini kerana geran khas perniagaan secara sekali RM10,000 yang diumumkan oleh Ketua Menteri dalam BKSS 7.0 tidak merangkumi peniaga golongan OKU yang  tidak berdaftar dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso),” tegasnya.

Sementara itu, Majlis Anak Istimewa Sarawak (Manis) juga memohon agar kerajaan negeri dapat mempertimbangkan kebenaran pengoperasian Pusat Urut Tradisional dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat selaras dengan pembukaan  salon dan kedai gunting rambut pada fasa ketiga.

Suara Sarawak