Polis sedang lakukan siasatan menyeluruh insiden tembakan tentera di Skuadron 330 TUDM, gesa orang awam tidak sebar spekulasi

KUCHING: Pihak polis sedang melakukan siasatan menyeluruh mengenai insiden tembakan empat anggota TUDM di Skuadron 330 TUDM di Kota Samarahan pagi semalam.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak DCP Mancha Ata berkata, setakat ini siasatan meliputi pengambilan sampel DNA, senjata, kesan tembakan dan kelongsong senjata.

“Kesemua bukti ini akan dihantar ke forensik PDRM dan Jabatan Kimia untuk siasatan selanjutnya.

“Selain itu, pihak polis juga telah meneliti kamera litar tertutup (CCTV) dan saksi akan dipanggil untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Menurut Mancha, siasatan awal mendapati kejadian melibatkan empat anggota TUDM yg bertugas di Balai Pengawal(Handau).

“Salah seorang anggota iaitu suspek merampas senjata api daripada tempat simpanan senjata api Balai Pengawal.

“Rakannya cuba menenangkan suspek tetapi ditembak di bahagian perut.

“Selepas itu suspek masuk ke bahagian bilik rehat dan menembak seorang lagi di bahagian sisi dada sebelah kanan dan mati di tempat kejadian,” tegasnya.

Jelasnya lagi, suspek kemudiannya menembak seorang lagi rakannya di bahagian belakang.

“Suspek selepas itu membunuh diri dengan menembak bahagian bawah dagu menembusi otak dan mati di tempat kejadian.

“Dua mangsa termasuk suspek mati di tempat kejadian dan seorang mangsa cedera parah disahkan meninggal dunia pada jam 9.20 pagi tadi di Hospital Jantung Kota Samarahan,” ujarnya.

Mancha turut memberitahu, pihak Forensik IPK Sarawak dan Forensik Hospital Umum Sarawak telah bergegas ke tempat kejadian.

“Motif dan punca kejadian masih dalam siasatan serta kes ini disiasat dibawah seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Maklumat susspek dan mangsa dirahsiakan untuk menghormati dan menjaga sensitiviti keluarga,” katanya lagi.

Justeru, beliau menasihati orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi atas kejadian ini.

Suara Sarawak