Program khusus untuk atlet di peringkat pengajian tinggi di Sarawak sedang diteliti

KUCHING: Kerajaan Sarawak di bawah Kementerian Belia dan Sukan sedang dalam perbincangan dengan dua buah institusi pengajian tinggi bagi program pendidikan khusus untuk atlet-atlet Sarawak.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, sedang berbincang dengan Unimas dan Universiti Curtin Malaysia cawangan Miri untuk bidang yang ditawarkan yang menjurus kepada kesukanan.

“Dalam usaha pembangunan atlet, kita bukan sahaja melihat kepada jasa mereka yang menyumbang pingat sukan-sukan tertentu di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Malah dalam bidang pendidikan juga amat penting untuk kerjaya atlet ini nanti selepas berhenti mewakili negeri atau negara.

“Sekurang-kurangnya mereka akan dipermudahkan dalam kerjaya yang diceburi pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui pemberita selepas Majlis Perjumpaan Bersama Atlet Pembangunan 2021 di Pusat Akuatik Pandelela Rinong, hari ini.

Tambah beliau, kelonggaran syarat memasuki mana-mana jurusan tertentu di institusi pengajian tinggi juga akan dibincangkan kerana bimbang akan menjatuhkan gred kursus yang diambil.

“Kita mahu usaha yang dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan bersama universiti awam untuk Sekolah Sukan Bukit Jalil juga boleh diusahakan di peringkat Kerajaan Negeri.

“Dari segi aspek pembiayaan pengajian pula, kita akan sentiasa melihat perspektif tersebut agar atlet mendapat bantuan kewangan daripada pelbagai syarikat atau agensi kerajaan bagi membiayai kos pengajian,” katanya lagi.

Selain itu, Karim menegaskan mana-mana atlet yang pernah mewakili sukan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa seperti Sukma,sukan Komanwel dan Sukan Olimpik harus diberi keutamaan semasa memohon pekerjaan sebagai penjawat awam dan swasta.

Turut hadir Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Snowdan Lawan, Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Nancy Jolhi, dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak Dr Ong Kong Swee.

Suara Sarawak