Projek tebatan bajir di Sebuyau siap dalam tempoh dua tahun lagi

SEBUYAU: Projek Tebatan Banjir di Daerah Sebuyau dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2023 sekali gus dapat mengatasi masalah hakisan dan air pasang besar yang melanda kawasan tersebut.

Kerajaan Sarawak memperuntukkan anggaran RM340 juta kepada Agensi Pembangunan Wilayah Bersepadu Samarahan (IRSDA) dan projek dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak (DID).

Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Julaihi Narawi berkata, pembinaan tebatan banjir tersebut melibatkan Skim Sebangan Bajong Blok A, Blok D, Blok E dan Blok F meliputi garisan pantai kira-kira sepanjang 26.5 kilometer.

Katanya, kawasan tersebut sebelum ini sering dilanda air pasang besar kerana tebatan banjir yang dibina dahulunya telah terhakis oleh air masin.

Pembinaan ban pesisir untuk mengelakkan air laut membanjiri kawasan tersebut.

Menurut Julaihi, tebatan banjir sepanjang 4.3 KM di bina di Skim Sebangan Bajong Blok A untuk fasa pertama yang menelan belanja RM53 juta.

Jelasnya, projek tersebut telah dianugerahkan kepada kontraktor pada Oktober tahun lalu dan kini mencapai 34 peratus kemajuan projek.

“Kemajuan projek Blok A ini mengikut jadual yang ditetapkan dan pembinaan projek berjalan dengan lancar.

“Sementara, bagi fasa kedua pula, ia masih dalam fasa reka bentuk oleh pihak DID, projek ini bakal siap pada Oktober 2022,” kata Julaihi ketika sidang media selepas mengadakan lawatan ke tapak projek Skim Sebangan Bajong Blok A dan Blok E, di sini hari ini.

Suara Sarawak