RM2.1 juta diluluskan bina BBP Batu Kawa, elak kejadian kebakaran pada masa akan datang

KUCHING: Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM2.1 juta untuk membina Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) di Batu Kawa.

Adun Batu Kawa merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Sim Kui Hian berkata, jentera bomba dan anggota bomba sudah boleh dipindahkan ke Batu Kawa tetapi masih memerlukan balai untuk memudahkan tugasan mereka.

“Setelah tekun memohon sejak tahun 2018, akhirnya Kerajaan Persekutuan meluluskan RM2.1 juta bagi pembinaan BBP di Batu Kawa.

“Bagaimanapun, ia terlambat apabila rumah panjang di Segubang, Batu Kawa musnah dalam satu kebakaran malam tadi,” katanya menerusi hantarannya di Facebook.

Kui Hian melahirkan kebimbangan mengenai sebarang kebakaran rumah panjang di kawasan Batu Kawa.

“Berikutan itu, sebanyak RM80,000 diperuntukan untuk menaik taraf pili bomba berhampiran rumah panjang bekenaan sebelum ini.

“Namun kerisauan kita berlaku juga,” jelasnya.

Beliau dalam pada itu memuji kepantasan pihak bomba untuk memadam kebakaran.

“Kita amat lega apabila mengetahui semua 84 orang dewasa dan 66 kanak-kanak terselamat,” ujarnya.

Sebuah rumah panjang sebesar 22 pintu di Kampung Sekubang, Batu Kawa Lama musnah secara keseluruhan akibat kebakaran, malam tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak mengesahkan pihaknya menerima laporan kejadian sekitar jam 7.26 malam.

Susulan itu katanya, dua pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya dan BBP Batu Lintang telah dikerahkan ke lokasi bagi membantu operasi menyelamat.

Suara Sarawak