Rumah, enam motosikal musnah terbakar di Kampung Lajong, Kuala Niah

NIAH: Sebuah rumah di Kampung Lajong, Kuala Niah musnah dalam kebakaran malam tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 9.05 malam dan mengerahkan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah ke lokasi yang terletak kira-kira 21 kilometer dari balai dan tiba pada jam 10.10 malam.

“Setibanya di tempat kejadian, pasukan bomba mendapati kebakaran melibatkan sebuah rumah dua tingkat telah terbakar 80 peratus.

“Pihak bomba menggunakan sumber air terbuka dari Sungai Lajong untuk memadan dan mengawal api daripada merebak ke kawasan lain dan api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam pada jam 12.17 tengah malam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kenyataan itu menambah tiada kemalangan jiwa berlaku kerana tiga penghuni rumah terbabit berjaya menyelamatkan diri.

 

Katanya menurut saksi, kebakaran bermula daripada tingkat atas dan kemudian merebak dengan pantas memusnahkan keseluruhan rumah tersebut.

“Kebakaran turut memusnahkan enam buah motosikal yang diparkir di bawah rumah terbabit,” katanya.

Punca kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan.

Suara Sarawak