Rumah kayu ranap akibat kebakaran di Kampung Semarang

KUCHING: Seorang lelaki hilang tempat berteduh apabila rumah kayu didiaminya musnah dalam kebakaran melibatkan tiga buah rumah di Kampung Semarang di sini, yang berlaku pada awal pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian pada jam 2.01 pagi dan segera menggerakkan seramai 34 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya, BBP Padungan dan BBP Tabuan Jaya ke lokasi.

“Komander operasi melaporkan bahawa kebakaran melibatkan tiga buah rumah yang terletak berdekatan, iaitu rumah jenis kayu terbakar 100 peratus, rumah jenis separuh kekal dua tingkat terbakar 70 peratus dan rumah ketiga terbakar 3 peratus di bahagian dinding.

“Kebakaran telah dapat dikawal pada jam 2.35 pagi dan operasi pemadaman ditamatkan pada jam pagi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya rumah yang musnah 100 peratus hanya didiami mangsa seorang, yang semasa kejadian tiada di rumah manakala rumah yang musnah 70 peratus didiami seramai tujuh orang mangsa dan kesemua mangsa adalah selamat.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak