Sarawak isytihar empat lagi kluster baharu libatkan komuniti dan tempat kerja

KUCHING: Empat kluster baharu diisytiharkan di Sarawak hari ini dengan tiga daripadanya kluster komuniti dan satu kluster tempat kerja.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, Daerah Kuching melaporkan tiga kluster baharu, manakala satu lagi kluster direkodkan di Bintulu.

“Kesemua kluster baharu di Kuching merupakan kluster melibatkan komuniti iaitu Kluster Taman Yen Yen, Kluster Crown Mas dan Kluster Lorong Teruntum.

“Di Bintulu pula, ia melibatkan kluster tempat kerja iaitu kluster Jalan Pisang Raja,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, JPBN berkata sebanyak dua kluster ditamatkan iaitu Kluster Jalan Setia di Kuching dan Kluster Jalan Kidurong Lima di Bintulu menjadikan sejumlah 91 kluster aktif di Sarawak setakat ini.

Dalam perkembangan sama, JPBN menyatakan Daerah Betong kembali ke status kuning daripada jingga setelah merekodkan 19 kes jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari yang lepas.

Suara Sarawak