Sarawak tetap jadi destinasi pelaburan asing

KUCHING: Sarawak tetap menjadi salah satu destinasi paling menarik untuk pelaburan di Malaysia meskipun berhadapan dengan pandemik Covid-19, kata Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan (Mintred) itu berkata, meskipun Sarawak telah memperoleh pelaburan yang diluluskan bernilai RM15.7 bilion pada tahun 2020 tetapi negeri ini tidak bergantung dengan kejayaan tersebut.

“Kita terus berinteraksi dengan pelabur asing mengenai cadangan pelaburan termasuk bidang hidrogen hijau, kenderaan elektrik, kaca gentian dan lain-lain,” katanya pada Majlis Perasmian Anugerah Kecemerlangan Industri Ketua Menteri (CMIEA) 2021 secara maya melalui aplikasi Zoom, hari ini.

Tambahnya, empat syarikat multinasional di Sama Jaya juga telah memulakan rancangan pengembangan yang bernilai RM6.31 bilion dan ia merupakan bukti keyakinan penuh para pelabur terhadap kemampuan Kerajaan Sarawak dalam menguruskan ekonomi dan menangani pandemik tersebut.

Suara Sarawak