Seludup Milo balik guna jalan tikus

SERIAN: Tindakan mencurigakan seorang wanita berada di kawasan hutan sempadan di Kampung Mongkos sekitar jam 8 malam Jumaat lalu membawa padah selepas suspek dikesan merupakan pendatang asing tanpa izin (Pati).

Suspek berusia 30-an itu dikesan berseorangan diri sambil membawa beberapa bungkusan berupa serbuk Milo dipercayai dibeli di kawasan kampung berdekatan untuk dibawa balik ke negara asal.

Mengesahkan kejadian Pegawai Medan Sektor B Ops Benteng Asisten Superintendan Megat Faizal Megat Fuad berkata, suspek seterusnya dikenakan tindakan pengusiran serta-merta oleh pasukan operasi.

“Ketika disoal siasat suspek mengaku telah memasuki Sarawak melalui salah satu laluan utama jalan tikus di kawasan hutan kampung Mongkos sejak beberapa hari lalu sebelum bertindak untuk berpatah balik semula ke kawasan sempadan.

“Pasukan operasi telah bertindak mengusir semula suspek melalui jalan yang mereka lalui untuk masuk ke Sarawak sebelum ini,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak ketika melakukan rondaan kawalan di Kampung Mongkos semalam.

Dedahnya, tindakan pengusiran serta-merta dilakukan bagi memastikan tiada tindakan sentuhan dilakukan di antara pasukan operasi dan suspek dalam usaha membendung penularan virus Covid-19.

Jelas beliau, pihak polis turut mematuhi prosuder operasi standard (SOP) sepanjang melakukan kawalan dan pemantauan Ops Benteng di lokasi kejadian.

Ulasnya, jalan tikus yang digunakan oleh suspek merupakan salah satu laluan panas untuk pati masuk ke Sarawak secara haram di samping cuba mengelak daripada dikesan oleh pihak polis.

Tegas beliau, Pasukan Gerakan Am (PGA) khususnya pasukan peronda terlibat Ops Benteng telah pun meningkatkan kawalan bagi memastikan kemasukan pati secara haram di lokasi berkenaan dapat dibendung.

Suara Sarawak