Seorang maut, dua parah kemalangan membabitkan Hilux dan Myvi

BAU: Seorang wanita maut manakala dua lagi cedera parah dalam kemalangan membabitkan  pikap dan kereta di Kilometer 7,Jalan Bau-Krokong, di sini, petang semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintendan Alexson Naga Chabu berkata dalam kejadian dilaporkan pada jam 6.48 petang itu, mangsa,40, penumpang kereta Perodua Myvi disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandunya wanita berusia 55 tahun patah tulang rusuk kanan dan patah kaki kiri dan kanan.

Sementara, katanya penumpang Toyota Hilux, lelaki berusia 26 tahun mengalami retak di bahu kiri dan pemandunya lelaki berusia 19 tahun dan seorang lagi  penumpang lelaki warganegara Indonesia berusia 34 tahun hanya cedera ringan.

“Apabila melalui jalan yang berselekoh, pikap berkenaan tiba-tiba terbabas lalu masuk ke laluan bertentangan dan berlanggar dengan kereta yang datang dari arah bertentangan mengakibat kereta berkenaan berpusing dan terbabas ke sebelah kanan jalan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Alexson berkata kejadian berlaku ketika hujan lebat dan keadaan jalan gelap.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan1987.

Suara Sarawak