Sokong Alexander Nanta jadi Timbalan Perdana Menteri

KUCHING: Kemajuan dan pembangunan di Sarawak akan dapat dicapai sekiranya Ahli Parlimen Kapit Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri, ujar bekas Setiausaha Politik Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Lidam Assan.

Menurut beliau, adalah lebih baik sekiranya orang Sarawak dilantik untuk jawatan Timbalan Perdana Menteri bagi memahami landskap Sarawak dan pembangunan yang dapat dibawa masuk ke negeri ini dengan lebih komprehensif.

“Melihat kepada pengalaman Datuk Seri Alexander yang luas dan telah dipilih sebagai Ahli Parlimen Kapit selama enam penggal berturut-turut, saya percaya beliau mampu menjalankan tugasnya sebagai Timbalan Perdana Menteri sekiranya diberi peluang.

“Justeru, seperti yang dicadangkan oleh banyak pihak, termasuk Ketua Penerangan Pemuda Parti Rakyat Sarawak (PRS), Andy Lawrence, saya memberi sokongan penuh kepada Datuk Seri Alexander Nanta Linggi sebagai Timbalan Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Lidam menyatakan bahawa pelantikan anak kelahiran Sarawak untuk jawatan ini juga tepat pada waktunya, dengan mengambil kira peranan semua Ahli Parlimen Semenanjung serta Sabah dan Sarawak sebagai peneraju pemerintahan tertinggi negara.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak