Sukan Paralimpik Tokyo 2020: Terima kasih semua

KUCHING: Bapa kepada jaguh angkat berat para negara, Gustin Jenang terharu dan gembira sebaik mengetahui anaknya Bonnie Bunyau berjaya merangkul pingat emas dalam acara powerlifting 72 kilogram kebawah yang turut menjurus terciptanya rekod baharu kejohanan dengan angkatan terbaik 228kg di temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

“Terkejut, gembira dan terharu apabila melihat dia (Bonnie) berjaya meraih pingat emas buat kem negara.

“Paling mengagumkan dia turut berjaya mencipta rekod baharu kejohanan mengatasi catatan angkatan 227kg rekod lama milik atlet dari Iraq, Rasool Mohsin,” ujar Gustin ketika dihubungi Arena Suara Sarawak.

Menurut Gustin, beliau dan keluarga turut melalui situasi berdebar tatkala melihat aksi anaknya melalui telefon bimbit sepanjang saingan berlangsung.

Gustin dengan nada merendah diri turut menghambur ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah mendoakan kejayaan anaknya itu.

“Saya sekeluarga ingin merakam ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberi sokongan serta semangat kepada Bonnie selama ini,” tambah Gustin.

Pingat perak untuk acara tersebut dimenangi Attia Mahmoud dari Mesir dengan angkatan 191kg.

Sambil, pingat gangsa milik Yule Mickey dari Britain (182 kg).

Suara Sarawak