Sukan, riadah tanpa sentuhan fizikal dibenarkan

KUCHING: Aktiviti sukan dan riadah tanpa sentuhan fizikal dan bukan berkumpulan bagi individu yang telah menerima vaksin lengkap dibenarkan bermula 10 Ogos ini.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata aktiviti yang dibenarkan ialah joging, taichi, berbasikal, papan luncur, memancing, ekuestrian, memanah, mendaki, tenis perseorangan, badminton perseorangan, golf, sukan permotoran dan sebagainya.

“Aktiviti sukan dan rekreasi amat penting untuk memastikan tahap kesihatan minda dan kecergasan fizikal yang baik.

“Oleh sebab itu, aktiviti tersebut dibenarkan dengan mematuhi penjarakan fizikal dan dilakukan di kawasan terbuka termasuk separa terbuka bermula 6 pagi hingga 10 malam,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam pengumuman khas hari ini, mengenai kemudahan-kemudahan bagi individu yang telah menerima vaksinasi lengkap.

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata operasi bilik persalinan atau bilik mandi di premis kelab sukan adalah tidak dibenarkan bagi mengelak perkumpulan selepas bersukan sekaligus mengurangkan risiko jangkitan.

Namun, katanya aktiviti makan di dalam restoran atau kafe di premis kelab dibenarkan selaras dengan kebenaran makan di premis makanan.

“Pemilik premis perlu pastikan mereka yang memasuki premis untuk menunjukkan sijil digital vaksinasi Covid-19 bahawa telah menerima vaksinasi lengkap,” katanya.

Suara Sarawak