Tentera usir 10 PATI cuba masuk Sarawak

KUCHING: Seramai 10 pendatang asing tanpa izin (Pati) telah diusir keluar setelah cuba untuk masuk ke negeri ini dalam tiga kejadian berasingan, pada Ahad.

Menurut Jurucakap Sel Perhubungan Raya Markas Pertama Infantri Malaysia (1 Div), pengusiran pertama adalah pada 2.45 petang melibatkan lima individu dipercayai Pati yang cuba memasuki Malaysia dari arah Indonesia di lorong tikus berhampiran batu sempadan Biawak, Lundu.

“Setelah ditahan dan disoal siasat, kesemua pati termasuk seorang wanita tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan menyatakan tujuan memasuki negara ini kerana ingin mencari pekerjaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas mengenai pengusirna kedua, katanya ia berlaku pada 7.15 malam melibatkan tiga individu yang mencurigakan dikesan sedang berjalan kaki dari sempadan memasuki kawasan Malaysia melalui ladang Tetangga Akrab, Balai Ringin.

“Pengusiran Pati ketiga pula sekitar jam 9.45 malam semasa pasukan yang sedang melaksanakan serang hendap berjaya menahan dua individu dipercayai Pati memasuki sempadan negara dari Indonesia di Jalan Ensawang, Lubok Antu.

“Selepas ditahan dan soal siasat, kesemua Pati telah diusir keluar dari sempadan Malaysia dan laporan polis telah dibuat untuk tindakan selanjutnya,” tambahnya.

Suara Sarawak