Terus patuh SOP walaupun sudah terima vaksin Covid-19 – Wan Junaidi

KUCHING: Masyarakat diingatkan untuk tidak mengambil mudah prosedur operasi standard (SOP) dan langkah-langkah pencegahan jangkitan Covid-19 walaupun sudah menerima vaksinasi.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, persepsi bahawa penerima vaksin kebal daripada jangkitan adalah salah kerana vaksin tidak mencegah penularan virus.

“Anda masih boleh menjangkiti dan dijangkiti wabak ini. Apa yang dilakukan vaksin adalah meminimumkan kesan jangkitan Covid-19 daripada mendapat gejala teruk.

“Oleh itu, adalah penting semua masyarakat terus mematuhi SOP dengan ketat kerana krisis ini belum berakhir sehingga kita berjaya mencapai imuniti kelompok,” katanya yang juga Ahli Parlimen Santubong.

Beliau dalam pada itu menzahirkan kebimbangan terhadap lonjakan kes positif Covid-19 di kawasannya sekali gus mengakibatkan semakin banyak perkampungan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Dalam perkembangan berlainan, Wan Junaidi menyalurkan tambahan 3.2 tan makanan asas kepada penduduk dalam Parlimen Santubong yang menjalani PKPD pada minggu lalu.

Ia melibatkan sejumlah 2,522 penduduk dari 743 keluarga di Kampung Telaga Air, Kampung Sungai Aur, Kampung Sibu Laut, Kampung Mersan, Kampung Santin dan Kampung Senari.

Wan Junaidi memeriksa bantuan makanan asas yang disalurkan kepada penduduk terlibat PKPD di Parlimen Santubong.

Suara Sarawak