Tiada kematian melibatkan pesakit Covid-19 di Sarawak yang sudah lengkap vaksin

KUCHING: Sarawak tidak merekodkan sebarang kematian akibat Covid-19 melibatkan individu yang sudah lengkap menerima imunisasi iaitu sekurang-kurangya 14 hari selepas suntikan dos kedua vaksin.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) Datuk Dr Mohamed Sapian Mohamed berkata, impak positif tersebut diperoleh hasil daripada peningkatan liputan imunisasi di negeri ini.

“Hanya tiga kes atau 0.7 peratus kematian akibat wabak di Sarawak melibatkan individu yang telah menerima dos pertama dan kedua vaksin Covid-19, tetapi ia masih dalam tempoh 14 hari dari tarikh penerimaan dos terakhir,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya setakat 8 Ogos, sejumlah 449 kes kematian akibat Covid-19 direkodkan di Sarawak, daripada jumlah tersebut 425 kes atau 94.6 peratus tidak mempunyai sejarah imunisasi.

“Manakala 21 kes kematian atau 4.7 peratus melibatkan mereka yang hanya menerima dos pertama vaksin ketika dikesan positif Covid-19,” ujarnya.

Suara Sarawak