Tiada varian Lambda dikesan di Malaysia

KUCHING: Tiada kes varian Lambda (C.37) dalam varian kelainan (VOI) yang dikesan di Sarawak, Semenanjung Malaysia dan di negara jiran di rantau ini setakat ini.

Menurut Pengarah Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti (IHCM) Unimas, Prof Dr David Perera, penduduk di negeri ini tidak perlu risau dan panik dengan kemunculan varian baharu itu setakat ini.

Beliau berkata demikian dalam laporan terbaharunya kepada Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Datuk Amar Douglas Uggah hari ini.

Kata Dr David, IHCM komited untuk bekerjasama erat dengan JPBN melalui institut turutan varian genomik (Genomic Variant Sequencing) dengan program pengawasan SAR-CoV-2 untuk memberi maklumat kepada masyarakat umum mengenai kemasukan sebarang VOI atau varian yang membimbangkan (VOC) ke Sarawak.

“Namun, kami ingin memberi nasihat kepada masyarakat tentang keseriusan dalam mematuhi SOP.

“Ini untuk mencegah peningkatan penularan virus yang berpotensi menyebabkan kemunculan VOI atau VOC baharu.

“Malah, ia menjadi lebih penting kerana kita perlahan-lahan beralih ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Nasional (PPN),” katanya.

Menurut Dr. David lagi, sampel Lambda yang paling awal dikesan dari Peru pada Disember 2020.

Katanya lagi, pada Jun tahun lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) secara rasmi menetapkannya sebagai VOI.

“Hingga kini, VOI ini telah dikesan terutamanya di Amerika Selatan (lebih dari 2,000 kes dilaporkan), di Amerika Syarikat (lebih dari 1,000 kes), Eropah (kurang daripada 350 kes) dan baru-baru ini di India (enam kes),” ujarnya.

Beliau turut memberitahu, di Asia, pengimportan kes tunggal bagi varian itu dilaporkan di Jepun, Australia dan Bangladesh.

Suara Sarawak