Tidak serik ditahan, lelaki diberkas polis buat kali ketujuh

KUCHING: Seorang lelaki tempatan ditangkap untuk kali ketujuh oleh polis selepas disyaki terlibat dalam kejadian kecurian motosikal, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, suspek yang berusia 35 tahun ditahan di kawasan Jalan Bintawa Hilir sekitar jam 3.50 petang.

Menurutnya tangkapan tersebut dilakukan oleh sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching menerusi Pasukan Khas Lejang Op Curi Kenderaan.

“Hasil semakan rekod mendapati suspek sebelum ini mempunyai enam rekod jenayah lampau.

“Iaitu lima kesalahan di bawah penyalahgunaan dadah dan satu jenayah,” dedahnya ketika dihubungi Suara Sarawak, hari ini.

Tambahnya, siasatan kes dijalankan untuk tindakan lanjut.

Suara Sarawak