Tuduhan Chong hanya untuk menutup kegagalan PH – Kelab Penyokong GPS

KUCHING: Tindakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak Chong Chieng Jen menyalahkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) kerana menyokong Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri hanya untuk menutup kesilapan dan kegagalan mereka sendiri.

Kelab Penyokong GPS dalam kenyataan berkata, PH sendiri yang tidak konsisten dalam mencalonkan Perdana Menteri.

“Mengapa selama ini PH meletakkan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi satu-satunya calon Perdana Menteri dan tidak pernah meletakkan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal?

“Jadi kenapa pula menyalahkan GPS?,” soalnya dalam kenyataan, hari ini.

Kelab itu berkata demikian sebagai respons kepada kenyataan Chong yang juga Presiden Tindakan Parti Demokratik (DAP) Sarawak yang menuduh GPS gagal kerana tidak menyokong Shafie yang juga Presiden Parti Warisan Sabah menjadi Perdana Menteri pertama dari Borneo.

“Kami ingin bertanya kepada Chong, apakah kedudukan DAP Sarawak untuk menyokong Shafie sedangkan Ahli Parlimen Semporna itu sendiri telah menarik diri daripada pencalonan menjadi perdana menteri bagi memberi laluan kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu,” ujarnya lagi.

Suara Sarawak