Varian Delta telah dikesan di 10 bahagian di Sarawak

KUCHING: Varian Delta telah dikesan di 10 bahagian di Sarawak setakat ini, dengan kadar pengesanan setinggi 99 peratus dilaporkan di Kuching.

Pengarah Kesihatan Sarawak Datuk Dr Mohamed Sapian Mohamed berkata kehadiran virus Delta yang mempunyai kebolehjangkitan yang tinggi iaitu lima sehingga lapan kali lebih tinggi berbanding dengan varian SARS-CoV lain menjadikannya faktor utama keberjangkitan kes yang tinggi di Sarawak, khususnya di Zon Selatan.

“Seperti yang dilaporkan oleh Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti (IHCM) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pada 28 Ogos 2021, sebanyak 178 kes varian Delta baharu telah dikesan dan ini merupakan kadar pengesanan varian Delta setinggi 83 peratus.

“Varian Delta berpotensi untuk merebak dengan cepat terutama jika individu tidak memakai pelitup muka, tidak mematuhi penjarakan fizikal dan tidak mengamalkan kebersihan diri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata kadar penggunaan katil bagi kes rawatan kritikal di seluruh Sarawak menunjukkan peningkatan pada Ogos ini.

Selain itu, Dr Mohamed berkata sebanyak enam buah PKRC Awam dijangka akan beroperasi semula manakala empat buah PKRC Awam yang baharu akan memulakan operasi sekiranya kes semakin meningkat.

Menurutnya, sebanyak 45 buah Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) telah dibuka di seluruh Sarawak yang terdiri daripada 41 buah PKRC Awam (berkapasiti 7,465 buah katil) dan empat buah PKRC Tahanan (berkapasiti 1,072 buah katil).

“Seramai 781 orang petugas kesihatan telah digerakkan untuk bertugas di semua PKRC ini namun, sebarang pertambahan kes baharu Covid-19 akan memerlukan lebih ramai petugas diperlukan di PKRC.

“PKRC dibuka dengan keutamaan terhadap pesakit berisiko tinggi seperti golongan yang berkomorbid,” katanya.

Sementara, Dr Mohamed berkata walaupun vaksin berkesan dalam mengurangkan keterukan penyakit akibat jangkitan Covid-19 kepada seseorang tetapi perlu diingat bahawa lebih kurang 30 peratus daripada kes harian merupakan golongan di bawah umur 18 tahun yang masih belum layak menerima vaksin.

Katanya daripada jumlah kes baharu yang dikesan pada Ogos ini, sebanyak 99 peratus kes berada pada tahap klinikal kategori 1 (tiada gejala) dan kategori 2 (mempunyai gejala yang ringan) semasa dikesan positif.

Justeru, beliau menegaskan orang ramai perlu bertindak sekarang dengan sentiasa memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal kerana jangkitan telah meluas dalam kalangan masyarakat.

“Sekiranya kes masih banyak dan meningkat setiap hari, penggunaan sumber tenaga dan perkhidmatan kesihatan mungkin akan lumpuh.

“Ini akan mengakibatkan tindakan intervensi seperti pengasingan pesakit dan pengesanan kontak akan terjejas teruk.

Suara Sarawak