100 peratus kes positif di sembilan bahagian Sarawak merupakan varian Delta.

KUCHING: Penjujukan genom terhadap varian SARS-COV 2 di Sarawak oleh Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti (IHCM) Unimas sekali lagi mengesahkan varian Delta merupakan varian Covid-19 yang dominan di negeri ini.

Pengarahnya Prof Dr David Perera berkata, varian tersebut kebanyakan dikesan di Bahagian Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Mukah, Miri dan Limbang termasuk kes Import A dengan kadar pengesanan 100 peratus.

“Bahagian Sibu dan Kapit sebaliknya mencatatkan 97 peratus, manakala 98 peratus di Bintulu,” katanya dalam laporan terbaharu kepada Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Datuk Amar Douglas Uggah Embas, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya berdasarkan data pada 31 Ogos lalu, daripada 307 kes positif di negeri ini 303 daripadanya adalah varian Delta (B.1.617.2).

“Secara keseluruhan varian ini mencatatkan peningkatan dari 82 peratus pada 2 Ogos lalu kepada 99 peratus.

“Oleh itu, data ini mengesahkan bahawa varian Delta merupakan varian dominan yang sedang merebak di Sarawak ketika ini,” tambahnya.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak