13 warganegara Indonesia didenda RM10,000 dan diusir pulang ke negara asal terlibat judi atas talian

KUCHING: 13 warganegara Indonesia masing-masing dijatuhi hukuman denda RM10,000 atau penjara dua bulan serta diusir pulang ke negara asal oleh Mahkamah Majistret hari ini, atas kesalahan terlibat dalam aktiviti perjudian dalam talian.

Tertuduh ialah Hengky Wijaya, Vivi, Suandy, Feri, Nico Hendriawan, Djap Jun Shun, Rita, Ajun, Ramadhan Rakawi, Edem Zakaria, Hendra Susanto, Jonathan, Steven.

Tertuduh yang berusia 18 hingga 42 tahun mengaku bersalah selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Zubaidah Sharkawi.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa di bawah Seksyen 4B(a) Akta rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953 di baca bersama Seksyen 34 Akta yang sama kerana menjalankan urusan dengan mesin judi menggunakan enam unit komputer di sebuah kediaman di Jalan Lapangan Terbang, 1 Ogos lepas.

Jika disabit kesalahan boleh dihukum denda antara RM10,000 hingga RM100,000 bagi setiap mesin judi dan hukuman penjara maksimum lima tahun.

Menurut fakta kes, bertindak atas maklumat pengadu, pihak polis melakukan satu serbuan di sebuah rumah beralamat Lorong Lapangan Terbang 4C, Jalan Lapangan Terbang kerana disyaki menjadi markas perjudian dalam talian sekitar jam 5.30 petang, 1 Ogos lalu.

Hasil pemeriksaan pihak polis mendapati kediaman tersebut dipercayai digunakan untuk aktiviti perjudian dalam talian apabila terdapat beberapa buah komputer serta beberapa peralatan lain yang disyaki digunakan untuk aktiviti tersebut.

Berdasarkan laporan pakar judi, kesemua barang kes yang dirampas disahkan sebagai mesin judi.

Semasa serbuan, kesemua tertuduh ditangkap di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak