18 gelandangan di Bintulu terima vaksin Cansino

BINTULU: Seramai 18 gelandangan di sekitar bandar ini menerima suntikan vaksin Covid-19 dos tunggal CanSino, malam tadi.

Antara lokasi terlibat adalah di Pejabat Residen Bahagian Bintulu dengan tiga gelandangan menerima suntikan, seterusnya di Esplanade Bintulu (7) dan Medan (8).

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, mereka yang menerima vaksin itu adalah antara 48 gelandangan yang telah dikenal pasti untuk program terbabit.

“Bintulu merupakan destinasi terakhir pelaksanaan program ini dengan kerjasama bersepadu beberapa agensi kerajaan negeri dan persekutuan bermula 25 Julai lalu.

“Operasi malam ini dijalankan secara bergerak dengan pasukan melakukan vaksinasi di lokasi gelandangan yang telah dikenal pasti,” katanya pada sidang media Program Vaksinasi Komuniti Gelandangan di Pejabat Residen di sini, malam tadi.

Dalam pada itu, beliau memberitahu masalah gelandangan adalah isu yang perlu diberikan perhatian sewajarnya.

“Justeru, kita telah diluluskan peruntukan untuk menubuhkan Tempat Transit Gelandangan (TTG) dengan yang pertama dijangka siap dalam masa terdekat menggunakan bangunan MAKSAK lama di Sibu,” ujarnya.

Beliau berkata, TTG berfungsi sebagai tempat transit bagi gelandangan membersihkan diri, makan malam dan tidur sebelum keluar keesokan hari untuk menjalankan urusan masing-masing selain disediakan bimbingan serta kaunseling.

Suara Sarawak