2 tekong, 10 Pati ditahan

KUCHING: Pasukan Gerakan Am (PGA)  Sarawak menahan dua tekong dan 10 Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) menersi dua tangkapan berasingan Op Benteng Covid-19.

Komander Briged Sarawak PGA, SAC Saini Bongkek berkata tangkapan pertama melibatkan tiga Pati warganegara Indonesia berumur lingkungan 27 hingga 34 tahun di sekitar kawasan Wong Pandak, Lubok Antu kira-kira jam 6.55 pagi hari ini.

Katanya, ketiga-tiga Pati tersebut ditahan ketika sedang berjalan kaki di sekitar jalan ladang dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati ketiga-tiga lelaki tersebut tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah untuk memasuki Malaysia.

“Kesemuanya diarah berpatah balik ke Indonesia melalui jalan yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara, Saini berkata tangkapan kedua melibatkan seorang lelaki tempatan bersama lapan lelaki dan seorang wanita warganegaraIndonesia yang berumur lingkungan antara 17 hingga 52 tahun, hasil penahanan sebuah van di kawasan Melikin, Serian kira-kira jam 6 petang semalam.

“Pemeriksaan lanjut mendapati lelaki tempatan bersama seorang lelaki warga Indonesia dipercayai tekong membawa seramai tujuh lelaki serta seorang wanita warga Indonesia yang tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah,” katanya.

Katanya, tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 15 Akta ATIPSOM 2007, Seksyen 6 (1) Akta Imigresen 1959 (Akta 155) dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Dua orang tekong iaitu seorang warga tempatan dan seorang warga Indonesia ditahan di dalam sebuah van bersama lapan Pati oleh sepasukan Batalion 11 PGA Kuching di Melikin, Serian
 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak