220 usahawan bawah Centexs terlibat kempen Sarawak Digital Mall

KUCHING: Seramai 220 usahawan tempatan bawah agensi Centexs Commersial melibatkan diri dalam kempen Sarawak Digital Mall, baru-baru ini.

Pengurus Besar Centexs Commercial, Mohamad Shahren Mohamad Yusri berkata, kempen ini sebagai langkah membantu meningkatkan kemampuan pengusaha tempatan memasarkan produk kepada khalayak dan bakal pelanggan dari Semenanjung.

“Kempen ini menawarkan baucar diskaun kepada usahawan Sarawak di platform e-dagang membantu meningkatkan hasil jualan mereka.

“Setakat ini, sekitar 280 produk tempatan ditampilkan dalam kempen ini yang merangkumi pelbagai produk seperti makanan, seni dan kraf dan pakaian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media secara maya, pagi Jumaat.

Menurutnya, sejak awal penubuhan Centexs Commercial, organisasi ini berkembang dan terus komited menjadi platform pengkomersialan utama bagi pengusaha tempatan di sekitar Sarawak.

Selain kolaborasi dengan Shopee, Centexs Commercial juga mengambil pelbagai inisiatif memasar dan mempromosikan produk peniaga melalui platform pemasaran digital seperti media sosial dan pasar raya.

“Kami juga menyediakan perkhidmatan mempromosikan produk jualan secara atas talian di aplikasi Facebook dan Instagram termasuk bekerjasama dengan platform atas talian seperti Bazaar Rakyat Online Sarawak Ku Sayang (BROSS) dan beberapa yang lain.

“Platform ini, banyak menemukan kami dengan usahawan dan juga pengguna di luar sana yang mempunyai ramai pengikut di media sosial,” katanya lagi.

Menurut Shahren, pihaknya menyasarkan sekitar 1,000 pengusaha tempatan bergabung dengan Centexs Commercial pada tahun ini.

“Usahawan ini mendapat banyak faedah dari kami seperti bantuan dalam pemasaran dan promosi, bekerjasama dengan SIRIM dalam menjaga makanan dan keselamatan, termasuk penjenamaan dan pelabelan,” katanya lagi.

Menurut beliau, Centexs Comersial juga memberi tumpuan kepada pemeliharaan dan pasaran produk Warisan tempatan agar ia dapat dikenali hingga ke peringkat luar Sarawak.

“Kami berharap Centexs Commercial dapat meneruskan kolaborasi ini dengan memberikan latihan dan pengetahuan untuk pengusaha tempatan, terutama dengan Shopee dan SDEC pada masa akan datang.

“Dengan langkah ini, kami amat berharap ia dapat mendorong rakyat kita sendiri iaitu masyarakat Sarawak dalam usaha menyokong usahawan tempatan dan produk warisan Sarawak kita,” tambahnya lagi.

Terdahulu, Centexs Commercial menyertai kempen ini bersempena sambutan Hari Malaysia pada bulan ini (September).

Difahamkan kempen ini merupakan kerjasama antara Sarawak Digital Economy Corporation Berhad (SDEC), bersama Unit Perancang Ekonomi Sarawak (EPU) dan Shopee Malaysia.

Suara Sarawak