25 sertai Kursus Kejurulatihan Bola Sepak FAS/SSC

KUCHING: Kouta yang akan menyertai Kursus Kejurulatihan Bola Sepak FAM (Lesen D) 2021 sudahpun penuh.

Seramai 25 orang individu yang sudah mengesahkan penyertaan mereka.

Timbalan Presiden FAS, Mohd. Saif Jubaidi memberitahu, peserta terbabit dari beberapa bahagian seperti Miri, Bintulu, Mukah serta beberapa kawasan pedalaman sekitarnya.

“Kouta ditetapkan (25 orang) sudahpun penuh dan kita tidak menjangka sambutan begitu hebat sekali diterima,” ujar Mohd. Saif kepada Arena Suara Sarawak.

Kursus tersebut yang dijadual berlangsung di Stadium Bandaraya Miri bermula dari 27 September hingga 2 Oktober depan.

Sambil menyatakan kursus berkenaan akan dikendali bekas jurulatih kebangsaan Wan Jamak Wan Hassan.

Mohd. Saif pada masa sama memberitahu, kursus seumpama itu akan turut dilaksanakan di beberapa zon lain pada masa akan datang.

“Segalanya bergantung kepada situasi semasa pandemik Covid-19 sebelum dapat memutuskan tarikh dan lokasi bagi penganjuran kursus berkenaan,” tambah Mohd. Saif lagi.

Katanya, perancangan pihaknya untuk cuba melaksanakan kursus seumpama itu di zon tengah dengan Bahagian Sri Aman dan Sarikei berada dalam radar pihaknya sebagai tuan rumah.

Suara Sarawak