300 cadangan memartabatkan OKU di Sarawak akan dipertimbangkan

KUCHING: Sebanyak 300 cadangan pemerkasaan Orang Kelainan Upaya (OKU) dalam komuniti yang dikemukakan pada Program Pemerkasaan OKU akan dipertimbangkan.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah memberitahu, kesemua cadangan tersebut akan diambil kira setelah diatur mengikut teras-teras yang telah ditetapkan.

“Terdapat beberapa perkara atau isu yang diusulkan telah mendapat perhatian serta tindakan kementerian berkaitan.

“Ada beberapa isu dapat dilaksanakan dalam masa terdekat, manakala bagi perkara yang memerlukan kolaborasi jabatan atau pihak kementerian, ia perlu dibuat sebagai perancangan jangka panjang.

“Jadi kita perlu berkolaborasi dan bekerjasama supaya hasilnya nanti bersifat bersepadu dan untuk jangka panjang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan penutupan bengkel Program Pemerkasaan OKU, hari ini.

Jelas Fatimah, teras yang dibincangkan semasa bengkel adalah dari segi aspek aksesbiliti, ekonomi, pendidikan, kesihatan, sosial, pembuat keputusan, pengurusan risiko bencana, penyelidikan dan pembangunan, advokasi serta konvensyen mengenai hak asasi OKU.

Dalam perkembangan lain, Fatimah mendedahkan mesyuarat kedua Jawatan kuasa Khas Kewarganegaraan akan dilaksanakan di Kuching, 8 Oktober ini.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak