5,291 kes baharu, hasil saringan 28,065 sampel tertunggak 5 hari

KUCHING: Sebanyak 5,291 kes baharu yang dicatat di Sarawak hari ini adalah hasil dari 28,065 sampel yang tertunggak sehingga lima hari, kata Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) Datuk Dr Mohamed Sapian Mohamed.

Menurutnya, bilangan sampel yang tinggi tersebut telah membebankan kapasiti makmal sedia ada, justeru memanjangkan tempoh diperlukan untuk memperoleh keputusan ujian walaupun melalui penyumberluaran yang telah dilaksanakan.

“Walaupun terdapat tunggakan masa dalam memperolehi keputusan, semua kontak yang berisiko telah diberi arahan kuarantin rumah (HSO) bagi mengelakkan penyebaran dalam
komuniti.

“Daripada 5,291 kes baharu, 99.9 peratus kes adalah kategori 1 dan 2,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, kadar positif adalah 18.8 peratus dan ia meningkat dari purata 14.5 peratus.

“Ini menunjukkan kejadian penularan ini telah berlaku secara meluas dalam komuniti dan menyebabkan peningkatan aktiviti pengesanan aktif kontak rapat di semua bahagian di negeri ini,” ujarnya.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak