6,458 pelajar di Bintulu akan divaksin

BINTULU: Seramai 6,458 pelajar berusia 16 dan 17 tahun di sini akan menerima suntikan vaksin Pfizer BioNTech sebagai persediaan untuk pembukaan sekolah pada 3 Oktober depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Bintulu Jack Aman Luat berkata, pemberian vaksin Covid-19 itu bermula pada 8 hingga 12 September ini, melibatkan pelajar dari 10 sekolah menengah di Bintulu.

“Ia dilaksanakan di tujuh pusat pemberian vaksin (PPV) iaitu di PPV SMK Kidurong, PPV SMK Bandar Bintulu, PPV SMK Bintulu, PPV SMK Kemena, PPV SM Kai Dee, PPV SMK Sebauh dan PPV SMK Tatau.

“Setakat hari ini seramai 2,639 pelajar atau 40.9 peratus daripada jumlah keseluruhan pelajar yang layak telah menerima vaksin,” katanya ketika ditemui usai meninjau proses vaksinasi pelajar di PPV SMK Kidurong, hari ini.

Tambah Residen Bahagian Bintulu itu lagi, mereka yang berusia 12 dan 15 tahun juga akan diberikan vaksin namun hanya memfokuskan remaja yang mempunyai komorbid dahulu.

Dalam isu berkaitan, beliau memaklumkan terdapat juga segelintir ibu bapa atau penjaga yang enggan membenarkan anak mereka diberikan suntikan vaksin.

Hadir sama Pegawai Kesihatan Bahagian Bintulu Dr Melvin Chung Hsien Liang, Pegawai Daerah Bintulu Muhammad Dino Amid dan Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Bintulu Tero Bayel.

Jack ditemani Dr Melvin, Dino dan Tero meninjau proses pemberian vaksin kepada pelajar di PPV SMK Kidurong, hari ini.

Suara Sarawak