70  gelandangan di Sarawak lengkap dua dos vaksin

 

KUCHING: Seramai 12 gelandangan terdiri daripada 11 lelaki dan seorang perempuan di sekitar bandar raya Kuching sudah menerima dua dos vaksin Covid-19, malam tadi.

Setiausaha Eksekutif Majlis Pembangunan Sosial (MPS) Sarawak Dr Zufar Yadi Brendan Abdullah berkata, kesemua mereka menerima vaksinasi menerusi Program Vaksinasi Komuniti Gelandangan Bahagian Kuching.

“Program ini sudah bermula pada 5 Ogos lalu dan setakat ini seramai 31 gelandangan telah menerima vaksin dos pertama,” katanya selepas Program Vaksinasi Komuniti Gelandangan bagi Dos Kedua khusus di sini, malam tadi.

Antara lokasi gelandangan yang menerima suntikan dos kedua tersebut ialah Panggung Udara Tebingan Kuching, Open Air Market, Balai Polis Padungan, Jalan Laksamana Cheng Ho, Kenyalang Park, kawasan Premier 101, Batu 4 berdekatan Everrise dan Matang Jaya.

Tambahnya, Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak (KKWPK) akan terus berusaha memastikan tiada gelandangan yang ketinggalan menerima vaksinasi.

Sementara itu, KWKPK dalam kenyataan berkata seramai 70 atau 69 peratus daripada 101 gelandangan di negeri ini sudah melengkapkan dos kedua mereka setakat 11 September lalu.

“Ia melibatkan 28 orang di Sibu, 23 orang di Miri, masing-masing tujuh di Kapit dan Sarikei, tiga di Serian dan seorang di Samarahan dan Betong,” katanya.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak