78 peratus remaja berusia 16 dan 17 tahun di Sarawak sudah divaksin

KUCHING: Kira-kira 78 peratus remaja di Sarawak berusia 16 dan 17 tahun sudah menerima sekurang-kurangnya dos pertama vaksin Covid-19.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, ia merupakan satu pencapaian yang baik sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja di negeri ini dilancarkan.

“Ini adalah satu pencapaian terbaik dan saya berharap agar kita akan terus meningkatkan lagi program vaksinasi ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan Mesyuarat Khas Imunisasi dan Pengurusan Pandemik bersama Ahli Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) di Wisma Bapa Malaysia, hari ini.

Khairy berkata remaja berusia 16 dan 17 tahun diberi keutamaan dalam suntikan Covid-19 memandangkan mereka akan kembali ke sekolah tidak lama lagi.

Tambah beliau, strategi kementerian untuk mengurus pandemik Covid-19 di Sarawak adalah memastikan program imunisasi dapat ditingkatkan terutamanya mempercepatkan vaksinasi kepada remaja.

Justeru, katanya selepas proses vaksinasi remaja berusia 16 dan 17 tahun selesai, ia akan diteruskan kepada remaja berusia 12 hingga 15 tahun.

Khairy berkata setakat ini, keseluruhan remaja yang disuntik merangkumi umur 12 hingga 15 tahun adalah sebanyak 29 peratus, yang menerima sekurang-kurangnya dos pertama.

Terdahulu, Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata Kerajaan Sarawak menyasarkan remaja di negeri ini lengkap menerima vaksin Covid-19 sebelum 31 Oktober ini.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak