Kes curi tiga tin susu: Suspek merupakan penagih dadah dan penjenayah

MIRI: Lelaki yang ditangkap kerana mencuri tiga tin susu di sebuah kedai di sini merupakan seorang penagih dadah tegar dan mempunyai pelbagai rekod jenayah termasuk mencuri.

Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Hakemal Hawari berkata tujuan utama suspek berusia 24 tahun itu mencuri bukanlah untuk menyara keluarga tetapi untuk dijual bagi membeli dadah.

“Ingin ditegaskan bahawa mencuri adalah salah di sisi undang-undang dan kesempitan hidup bukanlah satu alasan yang sah untuk mencuri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau menambah tiga tin susu yang dicuri suspek juga bukan susu formula kanak-kanak tetapi untuk orang dewasa.

Justeru, Hakemal menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes ini kerana ia akan mengganggu siasatan pihak polis.

“Pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut untuk tampil ke hadapan bagi membantu siasatan ini,” katanya.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak