Bantu rakyat yang memerlukan

KUCHING: Besar mahupun kecil sumbangan yang diberikan oleh seseorang kepada komuniti, ia merupakan nilai tambah yang besar kepada masyarakat lebih-lebih lagi masyarakat yang memerlukan.

Pengerusi Persatuan Perumahan dan Hartanah Sarawak (Sheda) Cawangan Kuching, Datuk Sim Kiang Chiok berkata, sumbangan seperti ini termasuk kerja kemasyarakatan atau sukarela akan membantu rakyat yang memerlukan sekali gus akan berkembang dan menjadi sebahagian budaya hidup masyarakat.

“Kita harus memberkati mereka yang murah hati dalam memberi pertolongan ini untuk menjadikan komuniti dan masyarakat kita ke arah yang lebih baik,” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan bersama Datuk Seri Fatimah Abdullah ke Pusat Jagaan Sunshine Home Wellness di sini,pada Rabu.

Sementara itu, beliau menyatakan setelah menempuh perjalanan yang mencabar sepanjang pandemik Covid-19, beliau berharap dengan kadar vaksinasi yang tinggi kini akan mempercepatkan pembukaan pusat ini.

Beliau juga berharap Sunshine Home ini dapat memulakan semua aktiviti dan kegiatannya dengan segera setelah wabak Covid-19 berakhir atau ketika kita dapat mula hidup dengan virus ini iaitu dalam fasa endemik.

Ditanya mengenai sumbangan beliau kepada pusat perlindungan berkenaan, Kiang Chiok menyatakan bahawa beliau dan keluarga telah menyumbangkan tiga unit kedai tiga tingkat di Kota Sentosa pada Mac 2019.

Jelasnya, hasrat keluarganya adalah untuk menolong Sunshine Home ini untuk memulakan kerja amal seperti menyediakan penjagaan sosial untuk warga emas.

“Ini juga selaras dengan hasrat kedua ibu bapa saya untuk menjalankan kerja kebajikan dan sentiasa berbuat baik kepada masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau amat mengalu-alukan sukarelawan lain untuk menolong mereka menjalankan pusat itu.

“Dalam masa yang sama, saya berharap agar sumbangan kepada pertubuhan sosial ini juga dapat dicontohi oleh badan bukan kerajaan (NGO) yang lain bagi membantu masyarakat di seluruh Sarawak dan Malaysia,” katanya.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak