Beberapa pemain SU FC II berpotensi sertai skuad senior

KUCHING: Beberapa pemain muda berpotensi Sarawak United FC II (SU FC II) telah disenarai untuk diserap ke dalam skuad Sarawak United FC (SU FC).

Pengurusnya Phillip Jabu mendedahkan, usaha pelapis-pelapis muda dalam menunjukkan peningkatan potensi membolehkan mereka menjadi pilihan untuk bermain ke dalam skuad senior itu.

Pengurus Sarawak United FC II Philip Jabu (kanan) menyerahkan sijil penghargaan kepada Jurulatih SUFC II Abdul Jalil Ramli

Tegasnya, ia sekali gus menjadi kredit berganda kepada skuad SU FC sebagai persediaan tambahan dalam mengharungi kempen Liga Super 2022.

“Ada beberapa pemain muda berpotensi untuk dinaikkan pangkat atau diserap ke dalam pasukan SU FC pada musim depan.

“Saya percaya dengan bakat serta kesungguhan dalam meningkatkan potensi, para pemain terbabit mampu menyerlah,” katanya kepada Arena Suara Sarawak selepas Majlis Malam Apresiasi Piala Presiden 2021 SUFC II, semalam.

Tambahnya, senarai nama pemain-pemain terbabit akan dihantar kepada jurulatih skuad senior untuk penilaian sebelum keputusan memasukkan mereka ke dalam pasukan dimuktamad.

Dalam perkembangan sama, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah membatalkan saingan Liga Piala Presiden 2022 dan Piala Belia 2021.

Sekali gus menyaksikan hanya pemain yang masih berumur bawah 21 tahun dikekalkan dalam skuad untuk persiapan menghadapi kempen Piala Presiden 2022 dan Sukan Malaysia (SUKMA) yang akan berlangsung di Johor tahun depan.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak