Beradab di media sosial

MEDIA sosial boleh mencetuskan buli siber, dan ia semakin membimbangkan kerana setiap orang mempunyai sekurang-kurangnya satu aplikasi untuk berkomunikasi secara maya.

Baru-baru ini tular di media sosial mengenai satu ungkapan

“kita serang sampai koyak”, ia juga tergolong dalam buli siber.

Ia tular susulan isu penarikan pingat emas atlet lontar peluru paralimpik negara, Muhammad Ziyad Zolkefli pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Walaupun isu tersebut amat mengecewakan rakyat Malaysia, lebih-lebih bagi atlet itu sendiri, namun serangan di media sosial terhadap negara luar, dilihat keterlaluan.

Malah ia hanya memperlihatkan moral masyarakat kita di mata negara luar.

Sebagai rakyat Malaysia yang terkenal dengan adat dan budaya serta sopan santun, kita harus lebih matang, dalam melontarkan pandangan atau pendapat, apabila tidak berpuas hati terhadap sesuatu isu.

Jangan hanya kerana kepesatan teknologi, menyebabkan kita alpa, dan jangan jadikan teknologi komunikasi sebagai saluran untuk melepaskan geram.

“Budi bahasa budaya kita”, ia merupakan slogan kebanggaan negara kita.

Budi bahasa ialah norma kehidupan masyarakat Malaysia yang terkenal dengan kesopanan dan ketertiban ketika bercakap Menurut Kementerian Penerangan Malaysia, amalan budi bahasa bukan sahaja penting dalam masyarakat Melayu, tetapi juga untuk semua kelompok masyarakat.

Tujuan mengamalkan cara hidup berbudi bahasa adalah untuk mewujudkan suasana aman, harmoni, kerjasama, saling menghormati, kasih sayang dan kesejahteraan.

Tidak ada gunanya jika kita kaya kebendaan, tetapi muflis keperibadian.

Di samping itu, Malaysia akan dianggap sebagai sebuah negara yang bertamadun jika masyarakatnya terdiri daripada insan-insan yang mengamalkan budaya murni dalam kehidupan.

Justeru dalam hal ini, penulis memang tidak bersetuju dengan “budaya menyerang” dengan menggunakan media sosial.

Ketika ramai berkempen dan menjadi ‘tentera siber’, maka mula kelihatan pelanggaran nilai-nilai murni dan lunturnya budaya kasih sayang yang menjadi pegangan bangsa kita sejak turun-temurun.

Netizen melepaskan kemarahan kepada Maksym Koval, pesaing Ziyad di akaun peribadi miliknya.

Ruangan komen di akaun itu dibanjiri pelbagai bentuk kecaman terhadap atlet tersebut.

Apabila rakyat kita meninggalkan ruangan komen di akaun milik atlet negara luar, sudah pasti satu dunia dapat melihat, mereka pasti akan dapat melihat akaun peribadi media sosial kita, ada simbol agama, ada gambar keluarga, ada lambang negara.

Tidak cukup satu serangan, dipanggil lagi rakan seangkatan untuk bersama-sama melancarkan misi penghinaan semata-mata untuk “memalukan” sasaran.

Jangan hanya kerana nila setitik rosak susu sebelanga, kita sanggup menggadai maruah negara.

Bagi mangsa, ia akan mengundang banyak kesan negatif, misalnya lemah semangat, hilang keyakinan, takut untuk berhadapan masyarakat, berasa diri tidak berharga, dan kemurungan.

Jadilah rakyat yang prihatin untuk perkara yang membawa kebaikan, bukan prihatin untuk menjatuhkan seseorang.

Tanamkan sikap tanggungjawab sosial dan nilai murni, dan jadikan ia sebagai amalan dalam kehidupan.

Justeru, jika media sosial ini digunakan dengan sebaiknya, ia boleh menjadi interaksi positif kerana individu boleh bertukar idea, saling memberi manfaat dan menghormati kehidupan orang lain tanpa mengira latar belakang, bangsa dan agama.

Sebagai pengguna media sosial, kita haruslah bijak dalam membezakan perkara yang berfaedah dan buruk untuk dikongsi dengan khalayak masyarakat.

Oleh itu, beradablah ketika menggunakan media sosial.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak