Covid-1: 99.94 peratus kes baharu di Sarawak kategori 1 dan 2.

KUCHING: Sebanyak 5,291 kes positif dan lapan kematian dicatatkan Sarawak hari ini, sekali gus bilangan kes baharu tertinggi dan hari kelapan berturut-turut angka jangkitan melebihi 3,000.

Ini menjadikan Sarawak menyumbangkan kes positif tertinggi di seluruh negara, diikuti Selangor dengan 2,347 kes dan 2,110 kes di Johor.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, bilangan kes yang tinggi merupakan kumulatif ‘back log’ ujian selama lima hari lalu serta peningkatan aktiviti pengesanan aktif kontak rapat di seluruh negeri.

“Bagaimanapun, 99.94 peratus kes berada pada tahap kategori 1 dan kategori 2 semasa dikesan positif,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Mengulas mengenai kes kematian hari ini, JPBN mendedahkan masing-masing tiga dilaporkan di Kuching dan Bintulu, dan satu kes di Sibu dan Asajaya.

JPBN menambah, terdapat satu kluster komuniti dikesan iaitu Kluster Nanga Lasi Mit, Julau yang melibatkan penduduk di dua buah rumah panjang di kawasan tersebut.

“Tiga kluster pula diisytiharkan tamat di Kuching iaitu Kluster 511 Sentosa, Kluster Kampung Seratau dan Kluster Kampung Sungai Laruh,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, JPBN mendedahkan daerah Marudi bertukar kepada status jingga daripada kuning setelah mencatatkan 33 kes tempatan dalam tempoh 14 hari yang lepas.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak