Curi wang sumbangan milik kuil, dua penganggur mengaku tidak bersalah

KUCHING: Dua penganggur mengaku tidak bersalah di hadapan Mahkamah Majistret hari ini, atas pertuduhan mencuri wang sumbangan milik sebuah kuil sebanyak RM1,500 pada 12 September lalu.

Tertuduh berusia 54, dan 21 tahun itu membuat pengakuan selepas pertuduhan secara berasingan dibaca oleh seorang jurubahasa di hadapan Hakim Zubaidah Sharkawi.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melakukan perbuatan tersebut di Kuil Chung Yang Tua Pek Kong di Jalan Kuching/Serian sekitar jam 9.00 pagi, 12 September lalu.

Oleh itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan denda.

Menurut fakta kes, bertempat di Pertubuhan Penyokong Kuil Chung Yang Tua Pek Kong, Beratok, pengadu menyedari peti besi duit derma yang dikimpal telah dipotong oleh orang yang tidak dikenali, sekitar jam 9.00 pagi, 12 September lepas. Anggaran kerugian adalah sebanyak RM1,500.

Selepas pengadu melihat kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang pada kuil tersebut ternampak dua orang lelaki yang tidak dikenali.

Pengadu kemudian membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Pada 23 September lepas, sekitar jam 10.58 pagi sepasukan polis telah melakukan tangkapan terhadap kedua-dua tertuduh di kediaman mereka di Batu 21, Jalan Kuching/Serian.

Hasil siasatan, kedua-dua mengaku terlibat dalam melakukan kegiatan mencuri wang sumbangan kuil berkenaan dengan tujuan untuk membeli keperluan harian.

Oleh itu, Kedua-dua suspek telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan di baca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah memutuskan sebutan semula kes pada 28 November depan.

Dapatkan kandungan menarik kami di media sosial:
Klik Di Sini -->> Facebook | Tiktok | InstagramYoutube | |  Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak