Dekorasi kek ceriakan anak

WALAUPUN Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, begitu juga penutupan sekolah pada Mei 2020, ia juga ada hikmahnya. Lelidia dan anaknya, Rowell, 9, berjaya memulakan perniagaan membuat kek yang pertama di sekitar Lundu.

Menurut Lelidia, dia mendapat inspirasi itu kerana sukar untuk membeli kek hari jadi anaknya di pasar Bau disebabkan sekatan pergerakan.

Bagi menceriakan anaknya, Lelidia cuba membuat kek hari jadi dengan bantuan ibu dan beberapa rakan yang mahir membuat pelbagai jenis kek kukus dan kek bakar.

“Untuk dekorasi, saya mempelajarinya daripada video di YouTube dan Facebook untuk menambah seri kek agar kelihatan seperti kek yang ada di kedai kek.

“Saudara mara yang hadir pada sambutan hari jadi kecil-kecilan anak saya telah merasai kek tersebut dan menyarankan saya untuk membuka tempahan kerana musim PKP ramai orang tidak boleh pergi ke pasar untuk membeli kek,” ujarnya.

Hasil saranan suami dan ahli keluarga terdekat yang membantu dari segi kos dan idea dekorasi, dia mencuba memuat naik gambar kek yang telah dibuat untuk mencuba pasaran khususnya di sekitar Lundu.

TEMPAHAN kek hari jadi mengikut cita rasa pelanggan.

Kerani sekolah Lelidia yang juga kerani sebuah sekolah di Sematan berkata, perniagaannya kini terhad di kawasan Lundu.

Sebelum ini, dia mendapat tempahan daripada rakan-rakan di Facebook yang tinggal di kawasan Sematan, Kuching dan Samarahan.

“Bukan setakat di sekitar Lundu, ada juga ahli keluarga yang tinggal di Miri turut membeli hasil jualan saya kerana ingin menyokong saya yang masih setahun jagung dalam dunia perniagaan kek ini,” katanya kepada Suara Sarawak.

Perniagaan yang diberi nama Grace Bakery ini dicipta untuk menaikkan semangatnya untuk mencapai impian membuka bakeri kek dan biskut yang pertama di Lundu.

Antara barang jualan yang sering menjadi pilihan pelanggan adalah kek agar-agar buah, kek kastard, kek kukus, kek keju leleh, kek hari lahir, biskut tart nanas, kacang almond, biskut marmur, biskut Florentine, popia serunding ayam dan popia rumpai laut.

Ditanya perancangan perniagaannya, Lelidia berkata, dia berazam untuk meluaskan perniagaan supaya dapat memiliki lesen perniagaan serta membuka kedai sendiri setelah tamat berkhidmat sebagai kerani sekolah suatu hari kelak.

“Kebanyakan kek dan biskut dijual bermula pada harga RM15 mengikut saiz serta hiasan yang digunakan untuk membuat kek.

“Saya mencuba untuk meletakkan harga yang berpatutan kerana kebanyakan pelanggan terdiri daripada orang kampung di sekitar Lundu,” katanya.

Anak turut bantu Untuk mengekalkan kualiti kek, dia menyarankan pelanggan membuat tempahan dua hari lebih awal kerana masih terikat dengan tugas hakiki sebagai kerani sekolah.

“Satu kek memakan masa sekitar tiga jam untuk disiapkan mengikut saiz dan permintaan hiasan pelanggan.

BISKUT TART NANAS

“Jadi saya sering meminta bantuan anak lelaki saya berusia sembilan tahun untuk menghias kek.

“Dia mempunyai minat dalam bidang ini.

“Di samping itu, saya turut mengajarnya cara membuat kek dan mempromosi jualan kepada rakan-rakan di sekolah kerana pada masa ini bidang kulinar terbuka luas dan sering dimonopoli oleh golongan lelaki,” katanya.

Beliau berkata demikian kerana suaminya merupakan pensyarah bidang kulinari di sebuah universiti swasta di Kuching.

Jelasnya, tempahan untuk membuat kek dibuka pada setiap hari, manakala tempahan untuk biskut hanya dibuka seminggu sekali.

“Biskut hanya dibuat pada hujung minggu dan seterusnya dihantar terus kepada pelanggan pada hari yang sama,” jelasnya.

Bagi pelanggan di sekitar Kuching, Samarahan dan Sematan terutama di sekitar Kampung Senibong, Lundu yang ingin menempah kek hari jadi, kak perkahwinan, biskut tart nanas dan agar-agar buah premium hubungi Lelidia melalui Whatsapp di talian 019-848 7403 atau menerusi Facebook Lelidia Grace.

KEK PUDING BUAH

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak