Dua lelaki tidak mengaku bersalah menceroboh kediaman

KUCHING: Dua lelaki masing-masing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan menceroboh kediaman, minggu lepas.

Tertuduh Mohd Nabil Syakir Syamim Abdullah, 24, dan Irwan Shah Abdul Khalik, 36, membuat tersebut pengakuan ketika pertuduhan dibaca secara berasingan di hadapan Hakim Zubaidah Sharkawi.

Mengikut pertuduhan, Mohd Nabil didakwa di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana menceroboh masuk ke halaman rumah mangsa di Jalan Taman Mawar 8, sekitar 9.30 malam, 16 September lalu.

Jika disabit bersalah, boleh dihukum penjara maksimum enam bulan atau denda tidak melebihi RM3,000 atau kedua-duanya.

Menurut ringkasan kes, pengadu ternampak seorang lelaki dan kemudian berteriak, namun tertuduh hanya memberi isyarat tangan supaya jangan bising.

Pengadu dan abang iparnya kemudian keluar menangkap tertuduh yang cuba melarikan diri lalu menyerahkannya ke balai polis berdekatan untuk siasatan lanjut.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh Irwan Shah Abdul Khalik, 36, didakwa di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan atas kesalahan menceroboh masuk ke kediaman di Kampung Bintawa Ulu, Petra Jaya sekitar jam 8.15 malam, 15 September lepas.

Jika disabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya.

Menurut fakta kes, pengadu bersama abangnya telah menangkap seorang lelaki tidak dikenali kerana menceroboh ke dalam rumah mereka.

Kes dikendalikan oleh Pegawai pendakwa Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin.

Mahkamah memerintahkan pengurusan lanjut kes kepada 27 Oktober depan.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak