Dua rakyat Indonesia dipenjara dan disebat memasuki Sarawak tanpa dokumen yang sah

KUCHING: Dua sahabat warganegara Indonesia dijatuhi hukuman penjara dan sebatan oleh Mahkamah Sesyen hari ini atas kesalahan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah memasuki negara ini.

Tertuduh Lie Janto,20, dan Jumawan, 36,mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa di hadapan dua hakim.

Bagi pertuduhan pertama, Hakim Afidah Abdul Rahman menjatuhkan hukuman penjara empat bulan dan dua sebatan ke atas Lie Janto. Manakala, Jumawan dijatuhi hukuman penjara tiga bulan penjara oleh Hakim Maris Agan.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara kedua-dua tertuduh bermula dari tarikh tangkapan pada 12 September lepas.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 yang membawa hukuman denda Maksimum RM10,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, dan tidak melebihi enam sebatan.

Mengikut pertuduhan, pada 12 September lepas sekitar jam 5.45 petang di sebuah pangsapuri di Jalan Stapok Utama, pihak berkuasa berjaya menangkap tertuduh yang dipercayai warga asing memasuki negara tanpa permit yang sah.

Selain itu, kedua-dua tertuduh masing-masing dijatuhi hukuman penjara enam bulan bagi kesalahan di bawah Seksyen 4 (1) (g) Akta Rumah Judi terbuka 1953 kerana mengendalikan mesin judi dalam talian.

Menurut fakta kes, pada 12 September lepas sekitar jam 5.45 petang, sepasukan polis telah melakukan serbuan di sebuah pangsapuri di Jalan Stapok Utama yang dipercayai dijadikan sebagai markas perjudian dalam talian.

Hasil pemeriksaan mendapati dua orang lelaki warga asing sedang menghadap empat buah komputer yang dipercayai digunakan untuk judi dalam talian.

Hasil siasatan tertuduh telah masuk dan berada di dalam Sarawak, Malaysia tanpa dokumen perjalanan yang sah.

Oleh itu, kedua-dua tertuduh ditangkap di bawah Seksyen 4 (1) (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan
telah melanggar peruntukan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

Pendakwaan dikendalikan oleh dua Timbalan Pendakwa Raya Nurfadzlin Mahmad Zulhasnan dan Mohamad Aiman Mutallib Mohamad Syariff.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak