Dua remaja rompak warga emas dihantar ke Sekolah Henry Gurney

KUCHING: Mahkamah Sesyen hari ini memerintahkan dua orang remaja lelaki dihantar ke Sekolah Henry Gurney di Penjara Puncak Borneo selepas mengaku bersalah atas pertuduhan merompak seorang warga emas, Mac lalu.

Hakim Jason Juga memerintahkan salah seorang tertuduh yang berusia 19 tahun menjalani hukuman sehingga mencapai usia 21 tahun.

Manakala, seorang lagi tertuduh berusia 15 tahun diperintahkan menjalani hukuman selama tiga tahun.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua remaja berkenaan didakwa melakukan rompakan berkumpulan terhadap seorang warga emas berusia 67 tahun dengan mengambil sebuah telefon pintar dan dompet milik mangsa.

Kesalahan tersebut dilakukan di Jalan Batu Kawa, sekitar 2.00 petang pada 8 Mac lalu.

Oleh itu, kedua-dua tertuduh didakwa di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika disabit kesalahan.

Menurut keterangan kes, mangsa membuat laporan polis selepas kejadian rompak yang berlaku terhadapnya berdekatan sebuah sungai di Jalan Batu Kawa.

Tertuduh pertama berusia 15 tahun berjaya ditangkap oleh pihak polis sekitar jam 11.45 pagi, 10 Mac lepas manakala seorang lagi berjaya diberkas sehari selepas tangkapan pertama.

Hasil siasatan lanjut, mangsa mengesahkan bahawa kedua-dua tertuduh yang telah merompaknya kerana dapat mengecam wajah kedua-dua tertuduh semasa kejadian berlaku.

Selain itu, ibu kepada salah seorang tertuduh turut memulangkan balik barang-barang yang dirompak kepada mangsa.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh dua orang Timbalan Pendakwa Raya iaitu Azham Marwan dan Nur Fadzlin Mahmad Zulhasnan.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak