Dua rumah terbakar, seorang penghuni melecur

KUCHING: Seorang lelaki melecur di bahagian perut, kaki dan tangan dalam kejadian kebakaran di Kampung Tabuan Haji Drahman, di sini hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, mangsa, 40 tahun yang juga penghuni rumah telah terjun untuk menyelamatkan diri ketika kebakaran yang memusnahkan dua buah rumah.

“Mangsa telah diberikan rawatan awal oleh EMRS Bomba sebelum dihantar ke hospital untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kenyataan itu mengulas lanjut, pihaknya menerimanya panggilan kecemasan berhubung kejadian yang dilaporkan pada jam 9 pagi.

Katanya, kejadian melibatkan rumah jenis tidak kekal berkeluasan 120 x 100 kaki persegi yang berdekatan.

“Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan telah dikerahkan ke lokasi kejadian dan dibantu BBP Padungan.

“Pasukan bomba bertindak memadam kebakaran dengan tiga pancutan nozzel secara ‘offensive dan difensive’ melalui dua aliran pada jarak 400 kaki serta membuat relay pumping dari jentera FRT Padungan untuk membuat pemadaman kebakaran,” jelasnya.

Lokasi berlaku kebakaran pagi tadi yang memusnahkan dua buah rumah struktur tidak kekal.
 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak