Enam mangsa seksual setiap hari

SEPANJANG tempoh Januari hingga Julai tahun ini Sarawak telah merekodkan sebanyak 81 kes rogol dan ia melibatkan peningkatan lima kes dalam tempoh yang sama, berbanding tahun 2020.

Selain itu, Sarawak juga merupakan negeri kelima tertinggi di Malaysia yang mencatatkan kes jenayah seksual (rogol) apabila mencatatkan 67 kes dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini.

Selepas melihat kepada angka tersebut mungkin secara pandangan mata kasar ia bukan satu angka yang membimbangkan kerana masih berada pada paras di bawah 100 kes.

Bagaimanapun, apabila menyebut kes rogol ia bukan satu perkara yang boleh dipandang enteng dan jika tidak dibendung dengan baik mungkin ia boleh menjadi ‘kudis’ dalam kalangan masyarakat.

Jadi, apakah punca kes rogol berlaku? Bagaimanakah kes ini boleh terjadi?  Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail memberitahu, kebanyakan kes rogol di Sarawak dilakukan oleh individu yang dikenali, kawan atau kenalan rapat mangsa.

Menurutnya, antara perogol utama ialah teman lelaki, bapa kandung mangsa,  bapa saudara, kes bapa tiri, kes datuk, dan  kes abang kandung.

Faktor utama terjadinya kes ini disebabkan pengaruh media sosial, kurangnya pemantauan ibu bapa, kemiskinan, dan kurang kesedaran seksual. Individu yang sepatutnya menjadi pelindung tetapi menghancurkan kehidupan mangsa itu sendiri.

Sebagai mangsa mungkin mereka mengalami ketakutan untuk mengadu, malah ada ahli keluarga yang mungkin tidak percaya kepada apa yang mereka katakan.

Ataupun mereka diugut, apatah lagi kes yang melibatkan sumbang mahram dan kanakkanak, perbuatan sekeji ini tidak sepatutnya berlaku dalam kalangan masyarakat kita. Sebagai pelaku atau mereka berniat untuk melakukan perbuatan terkutuk ini, apakah yang ada dalam fikiran mereka?

Tiada sedikitkah perasaan simpati mereka terhadap mangsanya? Adakah mereka melakukan perbuatan rogol ini dalam keadaan yang tidak waras?  Memang terlalu banyak persoalan yang bermain  di  benak fikiran masyarakat apabila kes sedemikian berlalu dan apa yang sukar diterima adalah kekejaman yang dilakukan oleh pemangsa.

Dalam pada itu, kepercayaan terhadap pasangan untuk mereka yang bawah umur memang tidak dinafikan banyak berlaku dalam kalangan remaja kita. Cara untuk berkasih sayang itu telah membawa kepada kes sebegini dan kebanyakan pula adalah apabila lelaki tidak mahu bertanggungjawab walaupun ia dilakukan secara ‘suka sama suka’.

Jadi, semua orang di sekeliling dan masyarakat perlu bersama-sama memantau perkara sebegini serta tidak mengamalkan sikap ‘tidak perlu tahu’ kerana dengan cara ini kita boleh membantu mengurangkan kes rogol.

Memetik laporan berita nasional dianggarkan seramai enam kanak-kanak dan remaja menjadi mangsa jenayah seksual setiap hari di Malaysia sejak tiga tahun lalu.

Malah golongan remaja serta kanak-kanak lelaki tidak terkecuali menjadi mangsa utama jenayah ini.

Statistik tersebut juga adalah berdasarkan rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mencatatkan sebanyak 6,897 kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak dan remaja bagi tempoh tiga tahun antara 2018 hingga 2020.

Data polis juga mendapati pelbagai aplikasi media sosial digunakan remaja serta kanakkanak antaranya WhatsApp, WeChat, Instagram, Facebook, MiChat, Telegram, Bigo, Messenger, BeeTalk, TikTok dan Twitter menyumbang kepada perlakuan jenayah seksual ini.

Daripada jumlah itu, 3,324 kes membabitkan jenayah rogol; Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (2,483 kes); sumbang mahram (708 kes); rogol berkumpulan (175 kes); seks luar tabii (120 kes); pornografi kanak-kanak (54 kes); pengantunan kanak-kanak (25 kes) dan cabul kehormatan (8 kes).

Disebabkan perkara ini juga pemantauan ibu bapa sangat penting lebih-lebih lagi apabila anak-anak ketika ini bebas menggunakan gajet untuk tujuan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Segelintir daripada mereka ini mungkin memiliki akaun laman sosial seperti yang disebut itu.  Bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku, ibu bapa perlu memeriksa telefon bimbit anak-anak dan memantau apa yang mereka lakukan. Ia bukan bertujuan mengongkong tetapi sekadar melihat aktiviti harian mereka.

Jika boleh  arahkan anak-anak untuk tidak menetapkan kata laluan di telefon pintar atau komputer.  Kes rogol ini bukan sahaja berlaku di Malaysia, tetapi juga di negara-negara lain apa yang membimbangkan dunia adalah kes yang dilaporkan di India kerana kes rogol berkumpulan di India umpama tiada penyelesaian.

Baru-baru ini juga, NDTV melaporkan lebih 30 suspek didakwa melakukan rogol berkumpulan terhadap remaja perempuan berusia 15 tahun, berkali-kali dalam tempoh sembilan bulan ini, di Mumbai.

Mangsa yang juga merupakan seorang gadis menamakan 33 orang yang disyaki merogolnya, 24 daripadanya telah ditahan termasuk dua kanak-kanak bawah umur.

Kejadian tragis ini bermula Januari lalu ketika dia dirogol rakannya yang turut bertindak merakam perbuatan terkutuk tersebut dan suspek menggunakan video sebagai ugutan serta  mengulangi perbuatan itu.

Inilah akibatnya, apabila manusia bertindak mengikut nafsu dan bukan akal fikiran. Sudah tahu hukuman yang menanti cukup berat, namun masih melakukan perbuatan yang keji. Siapa yang harus dipersalahkan?

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak