Enggan lap meja selepas makan, lelaki dipenjara empat bulan cederakan adik tiri

KUCHING: Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret hari ini, atas kesalahan mencederakan adik tirinya.

Hakim Zaiton Annuar menjatuhkan hukuman terhadap Muhammad Amni, 27, apabila mengaku bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibaca di hadapannya.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapan pada 19 September lepas.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di bilik dapur kediaman mereka di Lorong Merdeka 2, Kampung Lintang, sekitar jam 6.15 petang, 19 September lalu.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A Akta yang sama jika sabit kesalahan.

Menurut ringkasan kes, mangsa Nur Auni Bazilah, 21, telah ditumbuk oleh abang tirinya di bahagian muka hingga menyebabkan kecederaan lebam dan pendarahan di bahagian hidung.

Punca kejadian berlaku kerana mangsa menegur tertuduh agar menggelap meja selepas makan. Tertuduh kemudian menumbuk muka mangsa kerana mengatakan bahawa mangsa terlalu bising dan berleter dari pagi.

Oleh kerana, bimbang akan keselamatan diri mangsa kemudian membuat laporan polis untuk tindakan.

Pada hari yang sama, tertuduh telah ditahan oleh anggota Unit Kereta Peronda IPD Kuching untuk siasatan lanjut.

Hasil siasatan mendapati tertuduh mendatangkan kecederaan terhadap mangsa dengan menumbuk bahagian muka sehingga menyebabkan kecederaan lebam dan bengkak di bahagian hidung. Laporan doktor juga turut mengesahkan pengadu mengalami kecederaan.

Pegawai Pendakwa ASP Hisyam Junaidi memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh sebagai pengajaran.

Suara Sarawak