Fenomena aiskrim Three Tea di Tebingan Kuching

AROMA gula apong dalam aiskrim Three Tea yang mula diperkenalkan kepada warga Kuching pasti memikat hati penggemarnya hingga mencetus fenomena aiskrim di Tebingan Kuching.

Mula membuka pintu sejak minggu lalu, lokasi premis terletak di bangunan era Brooke, Sarawak Steamship LTD ini memeriahkan suasana Tebingan Kuching yang sebelum ini sepi sejak pandemik Covid-19.

Prinsip mengkomersialkan gula apong menerusi inovasi menjadi aiskrim yang dijenamakan Three Tea merupakan produk terbaharu keluaran syarikat Greenleaf Food & Beverage Sdn Bhd. Pengarahnya Lester Ong yang menggambarkan gula apong sebagai nilai harmoni dan rasa perpaduan sebenar negeri Sarawak.

“Aroma gula apong…semua kita menggemarinya kerana kalau diletakkan dalam masakan, makanan sedap. Kalau dimasukkan dalam minuman, air kita juga sedap,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak.

Meyakini nikmat autentik Sarawak yang dirasai dalam gula apong, Lester berkata, pihaknya membawakan aiskrim Three Tea sebagai produk terbaharu syarikatnya yang kini berusia 13 tahun.

“Setakat ini aiskrim kami ada dua perisa iaitu Kopi Special Karamel Gula Apong dan Teh C Special Karamel Gula Apong,” katanya perisa berkenaan diadaptasi daripada minuman tin yang dikeluarkan syarikat itu baru-baru ini.

Melihat sambutan yang diluar jangka, Lester mendedahkan pilihan menu air ais sejuk beku smoothie dari aiskrim berkenaan akan dihidangkan mulai hujung minggu ini.

“Dipadankan dengan biji boba, smoothie itu juga berperisa kedua-dua kopi dan teh yang akan dinikmati dengan aiskrim perisa sama ditambah hiasan oreo, kekacang, emping jagung, cip coklat dan pelbagai lagi,” ujarnya.

Lester mengakui air smoothie syarikat itu genap seminggu aiskrim menemui warga Kuching kerana pihaknya ingin menampilkan variasi menu sedia ada.

“Sekiranya ada yang tidak suka makan aiskrim, jadi smoothie pilihan terbaik anda kerana ia akan mencair menjadi air untuk melegakan tekak,” jelasnya.

Lester berkongsi, aiskrimnya kini mencetus fenomena di Tebingan Kuching dan ahli perniagaan muda ini mengakui tidak menyangka warga Kuching menyambut baik idea dan inovasinya.

“Saya gembira orang Kuching menggemarinya. Kami berbesar hati menyambut kedatangan mereka di sini. “Saya akan pastikan kualiti dan rasa nikmat karamel gula apong dalam aiskrim dan smoothie sentiasa menepati cita rasa orang Kuching,” kata dengan nada gembira.

Tambah Lester, sambutan baik membuktikan gula apong yang dianggap nilai dan rasa sebenar Sarawak.

Dalam pertemuan semalam, Lester turut berkongsi Greenleaf Food & Beverage tampil sebagai pihak pertama di negara ini mengeluarkan minuman dalam tin bagi teh karamel berperisa gula apong termasuk pandan dan santan.

“Begitu juga dengan kopi istimewa berperisa karamel gula apong serta pandan dan santan. Pastikan anda menikmati teh dan kopi dalam tin jenama Greenleaf. Ia sangat sedap,” katanya.

Inovasi yang memakan masa empat tahun untuk proses kajian dan penyelidikan (R&D) kata Lester diusahakan tanpa mengalah hingga berjaya menepati rasa minuman itu sebelum mula dipasarkan pada awal 2020.

“Minuman dalam tin ini berjaya memasuki pasaran negara jiran, Brunei dan baru-baru ini dipasarkan
di semua kedai 7Eleven di seluruh Malaysia,” jelasnya berkongsi perancangan terdekat membuka premis aiskrim Three Tea di bandar utama di seluruh Sarawak.

“Saya mahu orang Sibu, Bintulu dan Miri juga merasai rasa Sarawak jenama kami,” katanya.

Sehari sebelum memperkenalkan produk aiskrimnya, Lester memberi  peluang kepada Suara Sarawak
menyediakan sendiri smoothie tersebut dan menjadi individu pertama di Kuching merasai dua minuman berkenaan.

Sebagai penggemar kafein, penulis berani menjanjikan kedua-dua smoothie itu tidak akan menghampakan tekak anda semua. Bagi yang ingin mengetahui lanjut, boleh melayari Facebook Three Tea Ice Cream Kuching.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak