Gali ilmu dengan membaca

“MEMBACA Jambatan Ilmu” bukanlah ungkapan asing dalam masyarakat kita. Ia amat biasa didengar, namun tidak ramai yang mengamalkannya. Membaca merupakan penghubung ke arah kelangsungan budaya ilmu dan peradaban bangsa dalam mendepani gelombang maklumat di peringkat lokal, nasional mahupun global.

Membaca juga merupakan perkhidmatan penting dalam usaha kita meningkatkan kualiti pendidikan, menyediakan pelajar untuk menghadapi zaman maklumat, membina budaya ilmu, menanam asas pendidikan sepanjang hayat dan mengembangkan potensi pelajar selaras dengan falsafah pendidikan negara.

Yang pasti, budaya membaca dalam kalangan masyarakat kita masih goyah, apatah lagi pada zaman ledakan teknologi komunikasi ini, yang kebanyakannya lebih gemar menatap skrin telefon bimbit.

Antara faktor yang menyebabkan golongan muda tidak gemar membaca ialah minat membaca mereka masih rendah.  Justeru, motivasi membaca sangat diperlukan untuk mendorong seseorang untuk gemar membaca.

Jika mengetahui dan memahami manfaat membaca, maka minat membaca pasti semakin tinggi. Sementara itu, jika sebelum ini membaca adalah sinonim dengan buku atau media cetak, pada era digital sekarang ini, membaca tidak lagi tertumpu pada kertas kerana semua maklumat terkini terdapat di ruang siber atau Internet dan media elektronik lain.

Golongan muda kini lebih bergantung kepada Internet untuk mencari rujukan, berbanding bahan fizikal seperti buku. Bagaimanapun, golongan ini perlu melihat dan membaca buku bagi tujuan penglihatan dan ia lebih memberi kesan jangka panjang berbanding melihat di Internet.

Jika mereka gemar untuk membaca buku, sudah pasti mereka akan berasa rindu dengan bau buku.  Faktor lain, mungkin kerana masa golongan muda ini dihabiskan untuk bekerja dan berada di jalan raya untuk ke tempat kerja.

Apabila kembali ke rumah, mereka dalam keadaan yang penat dan letih. Justeru kekangan masa inilah yang sering kali menjadi alasan yang membataskan mereka daripada amalan membaca.

Mengambil senario masyarakat di Jepun, walaupun mereka mempunyai masa bekerja hampir 14 jam sehari, kekangan masa ini tidak boleh dijadikan alasan yang membataskan mereka dengan buku.

Oleh itu tidak hairanlah masyarakat Jepun sinonim dengan amalan membaca.  Namun, kita tidak boleh menyalahkan sepenuhnya kepada rakyat yang kurang membaca. Mungkin terdapat beberapa faktor lain yang perlu diambil kira.

Mengikut standard Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan PBB (UNESCO), antara kriteria sebuah negara maju ialah penerbitan buku mestilah pada kadar satu peratus untuk setiap sejuta penduduknya.

Lantaran itu, Malaysia yang mempunyai kira-kira 32.75 juta (suku pertama 2021) penduduk perlu menerbitkan 32,750 naskah buku setahun.  Jika kita lihat di benua Eropah dan Amerika, rata-rata mereka dapat menghasilkan 20 hingga 30 buku untuk setiap orang setiap tahun. Angka ini cukup untuk mengesahkan bahawa kemungkinan orang Malaysia tidak gemar untuk membaca, tetapi ketersediaan buku itu kurang.

Bagi pelajar, mereka tidak membaca buku atas pelbagai faktor, misalnya akses untuk mendapatkan buku agak sukar. Jika kita lihat di negeri ini, kebanyakan perpustakaan hanya terdapat di bandar namun kurang di daerah kecil mahupun di bahagian pedalaman.

Kadangkala mereka ini hanya dapat membaca buku di perpustakaan apabila sesi persekolahan dibuka. Namun, semasa wabak pandemik Covid-19 ini dan sesi persekolahan dijalankan secara dalam talian. Adakah pelajar ini tidak dapat meneruskan pembacaan mereka di sekolah dan tiada cara lain?

Mungkin ramai yang akan menyatakan bahawa tidak perlu ke perpustakaan dan hanya beli di kedai buku. Ia boleh diterima bagi orang yang berkemampuan. Di samping itu, perbanyakkan buku berkualiti yang mampu menarik minat orang ramai.

Oleh itu, kita memerlukan sokongan industri buku yang hebat kerana industri buku mampu mengangkat pemikiran masyarakat ke tahap yang lebih baik melalui pembudayaan amalan membaca serta mencintai ilmu.

Persepsi buku sama seperti manusia, pandangan pertama itu penting walaupun kita sering diingatkan supaya jangan menilai seseorang daripada sifat luarannya.

Hakikatnya pandangan pertama itulah yang mewakili kualiti yang ada pada sesebuah buku. Buku yang laris di pasaran bukan sahaja bergantung pada kredibiliti penulis serta kandungannya, malah reka bentuk kulit buku turut memainkan peranan.

Yang pasti masih ramai masyarakat kita yang tidak gemar membaca buku, berbanding bahan bacaan lain yang lebih ringan dan santai. Oleh itu, didikan awal, terutama di peringkat kanak-kanak amat penting bagi mewujudkan budaya membaca.

Pastikan anak-anak tidak terlalu leka “bermain” telefon bimbit, lebih-lebih lagi ketika musim Covid-19 ini, yang sebahagian masa dihabiskan di rumah.

Sebagai ibu bapa, atau penjaga, tunjukkan sikap positif terhadap anak-anak dengan menjadikan membaca bahan ilmiah sebagai satu amalan harian. Ia bukan sahaja menambah ilmu di dada, tetapi juga akan membentuk pemikiran kritis dan analitis.

Malah budaya membaca juga akan melahirkan sebuah masyarakat berilmu, serta cinta akan ilmu. Ilmu tidak akan datang sendiri atau jatuh dari langit, tetapi ia perlu dicari, digali dan diterokai.

Bagi pelajar pula, jangan hanya membaca untuk peperiksaan, tetapi, ia hendaklah diteruskan sampai bila-bila, demi ilmu yang tidak boleh dinilai dengan wang ringgit.

Dapatkan kandungan menarik kami di media sosial:
Klik Di Sini -->> Facebook | Tiktok | InstagramYoutube | |  Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak