Gempar 41 kilogram dadah dijumpai

TAWAU: Polis merampas lebih 41.19 kilogram dadah jenis syabu bernilai lebih RM1.48 juta dalam serbuan di sebuah syarikat penghantaran barang di Jalan Sin Onn di sini Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Tawau ACP Peter Umbuas berkata rampasan pada 12.30 tengah hari itu dibuat hasil maklumat daripada seorang suspek berusia 49 tahun yang ditahan bersama 303.15 kilogram syabu di Kampung Batu Payung pada 6 Sept lepas.

“Sebaik mendapat maklumat polis menyerbu syarikat berkenaan dan hasil pemeriksaan di dalam sebuah kontena polis menemukan enam kotak mengandungi 13 bungkusan plastik berisi dadah jenis syabu dengan anggaran berat kasar 41.195 kilogram dadah,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurutnya tiada tangkapan dibuat dalam serbuan itu.

Beliau berkata kes itu merupakan susulan daripada penahanan seorang lelaki pada 6 Sept lepas bersama dadah bernilai lebih RM10 juta di Kampung Batu Payung selepas dikejar polis dari Kampung Membalua semasa cuba meloloskan diri. – Bernama

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak