Guru perintis di Mukah

BERDASARKAN catatan Sarawak Gazette pada 1955 oleh Setiausaha Negeri Sarawak untuk Koloni Rt. Hon. Alan Lennox-Boyd, P. C., M. P., pendidikan peringkat awal di Sarawak diperkenalkan selepas pascaperang.

Malah dinyatakan ada kertas putih disediakan untuk perbincangan dengan rakan sekutu bagi membincangkan langkah pembinaan bangunan baharu sekolah, kemudahan, jaminan pekerjaan sebagai guru dengan harapan anak-anak dari semua komuniti di Sarawak tidak akan hilang bahasa dan budaya tradisional mereka.

Katanya lagi, Kerajaan British menerima prinsip pemerintahan seperti termaktub dalam Sembilan Prinsip Kardinal Peraturan Rajah iaitu menjadi kewajipan mendidik rakyat tentang tanggungjawab dan hak kerakyatan.

Maka dengan itu jelasnya, pendidikan aliran British bermula di Sarawak apabila ramai anak tempatan yang menjadi guru dihantar melanjutkan pelajaran ke United Kingdom antaranya ke Kolej Latihan Winchester di England, Kolej Goldsmith di London, Standford Hall Cooperative College, di Loughborough dan banyak lagi.

Kata Cikgu Tula, penglibatannya dalam dunia pendidikan bermula selepas tiga kali ditawarkan oleh pemerintah yang akhirnya diterima sebagai guru sementara dengan gaji $40 sebulan, setelah dua kali tawaran ditolak.

“Pihak pemerintah mencari mereka yang tahu menulis dan mengira.

Jika tahu asas ini, mudah untuk diambil bekerja.

“Saya seterusnya diambil oleh untuk mengajar di SK St Bernard Dalat (tidak lagi wujud) manakala pada 1957 semasa Tanah Melayu merdeka, saya menjalani latihan di Pusat Latihan Perguruan Batu Lintang sehingga menjadi guru tetap sepenuhnya pada 1959,” tambahnya.

Kesusahan zaman dahulu

Bagi Cikgu Tula, kesukaran dialami guru ketika itu adalah jalan perhubungan kerana tidak diturap.

Apabila mengajar di kawasan pedalaman komuniti Iban, jalan laut atau sungai perlu dilalui.

“Untuk masuk ke pedalaman perlu menggunakan perahu. Jika air surut memang mesti tarik perahu,.

“Saya bersyukur kerana dipindahkan ke SRK Dua Sungai di Judan Mukah.

Jalan bertanah dan berpasir.

Pada waktu panas debu akan berterbangan.

“Manakala pada waktu hujan, jalan memang becak.

Setelah penat berbasikal ke sekolah setiap hari, saya gunakan motosikal.

Angin tayar hadapan perlu dikurangkan bagi memudahkan pergerakan motosikal,” katanya.

Jelas Tula lagi, di peringkat awal dia mengajar menggunakan bahasa Inggeris untuk mata pelajaran Matematik, Sejarah, Geografi, dan Pengetahuan Am namun berubah setelah pembentukan Malaysia.

Setelah berakhir pemerintahan British di Sarawak, sistem pendidikan bahasa Melayu mula diperkenalkan di Sarawak, yang memberi cabaran kepadanya yang tidak mempunyai asas dalam bahasa Melayu.

“Hal ini disebabkan saya tiada asas latihan dalam penggunaan bahasa Melayu.

Maka kami (guru) perlu menyertai kursus bahasa Melayu sebulan sekali pada waktu cuti.

Ia berterusan hingga kami mahir,” dedahnya.

Ujarnya, pada zaman dahulu anak-anak tidak perlu membawa banyak buku ke sekolah.

“Sekarang kerja lebih mudah sebab ada peranti, komputer, dan Internet yang membantu proses mengajar.

Untuk itu, guru kini perlu lengkap sepenuhnya dengan ilmu teknologi ini.

“Apabila pelajar tidak dapat ke sekolah, bahan boleh dihantar ke rumah pelajar menggunakan Internet.

Dahulu jika pelajar tidak datang ke sekolah, mereka akan ketinggalan,” katanya.

Menjadi guru tetap pada 1959 dengan gaji $150 katanya, jumlah gaji itu cukup banyak untuk dibelanjakan.

Jelasnya, jika British masih memerintah, Sarawak tidak akan membangun sebab susah untuk mereka (British) menjalankan ekonomi sebab tiada pakar ekonomi, tambahan mereka sibuk membangunkan kembali negara mereka selepas perang.

“Tan Sri Stephen Kalong Ningkan pada waktu itu juga mahu semua warga British pulang ke tanah asal dan seterusnya Sarawak ditadbir oleh Gabenor Datuk Abang Openg Abang Sapi’ee dengan Perjanjian Malaysia 1963 termeterai pada waktu itu,” ujarnya lagi.

Cikgu Tula menjelaskan, sebagai guru, perasaan puas jelas terpancar apabila melihat semua anak didik berjaya dalam pelbagai bidang.

“Ramai anak didik saya menjadi doktor, guru, kerani, polis dan sebagainya.

Di kawasan Selangau tempat lama saya mengajar, ada yang menjadi tuai rumah, pemanca dan temenggong,” kongsinya.

Hiburan ketika mengajar

Beliau yang mengajar pelajar tahun satu hingga empat turut berkongsi pelbagai kerenah pelajar di dalam kelas sehinggakan ada yang malu untuk meminta tolong, kencing di dalam seluar, ada juga yang bergaduh dan banyak lagi.

“Biasalah kanak-kanak kecil akan bergaduh jika kita tidak leraikan dan nasihati mereka bahawa sekolah tempat belajar bukan bergaduh.

“Sebab itu kanak-kanak yang saya ajar tahu semua asas menulis, membaca dan mengira.

Saya suka mengajar murid tahun satu sebab suka panggil mereka ke hadapan sewaktu sesi pembelajaran, dan saya terap amalan bermain sambil mengajar,” katanya.

Dedahnya lagi mengajar murid tahun satu sama seperti bermain kerana kanak-kanak tidak suka dengan sesi pembelajaran yang membosankan.

“Mesti diterapkan dengan elemen bermain. Jika tidak mereka akan kebosanan.

“Jika mereka bosan, saya ada cara saya sendiri. Saya akan bercerita kisah dongeng dan pastinya mereka khusyuk mendengar kisah pelanduk dan pelbagai lagi.

“Saya tahu dengan cerita dongeng ini, mereka tidak akan bosan belajar dan daya imaginasi mereka juga akan berkembang.

“Selepas sepuluh minit, saya akan sambung semula sesi pembelajaran.

“Saya juga tahu pelajar tidak suka guru yang tegas. Mereka akan takut. Semakin kita garang pelajar akan jadi beku,” katanya.

Cikgu Tula turut berkongsi kisahnya mengajar seorang pelajar tahun empat yang tidak pandai menulis dan membaca dan apabila dewasa, pelajar tersebut berjaya menjadi guru.

“Semasa mengajar di Selangau, ada seorang pelajar tahun empat yang tidak tahu menulis dan membaca (asas pendidikan).

Saya ajar sehingga dia mahir dan akhirnya menjadi seorang guru setelah lulus tingkatan lima.

“Saya sempat hadir sendiri ke majlis pengebumiannya di Selangau pada tahun lalu.

“Saya tidak menjangka dia menjadi guru, dan ini jelas menunjukkan asas yang kukuh pada usia muda membantu mereka di peringkat seterusnya.

Pelajar menangis

Apabila Cikgu Tula memberitahu akan bersara pada 1992, semua pelajarnya menangis.

“Waktu itu saya terangkan kepada mereka sambil berseloroh bahawa saya tidak lagi hadir untuk mengajar mereka semua, saya telah dibuang oleh kerajaan.

“Semua pelajar saya menangis sambil menjawab mereka masih mahu saya mengajar, satu kelas menangis,” katanya.

Mengimbau kembali kesan penaklukan tentera Jepun dan komunis di Sarawak katanya, semua pihak perlu menghargai erti Hari Malaysia selain bijak memanfaatkan kebijaksanaan diri untuk memajukan diri dan masyarakat.

“Sepatutnya gunakan pendidikan untuk membantu masyarakat, bukan untuk kepentingan sendiri (tamak), sebab kita tahu ia jelas menyusahkan banyak pihak.

“Sebagaimana strategi tentera Jepun yang mahu menakluk semua tanah jajahannya, kesannya kita di sini menjadi susah, kerana orang yang pintar ini (ketua tentera Jepun) menyusahkan kita.

Bukan kita sahaja malah di seluruh Asia terkesan. “Dalam penaklukan komunis ini juga, kita lihat di pengakhirannya kesemua mereka mati kerana yang jelas semua kerja yang tidak baik ini akan jelas tidak menguntungkan,” tegasnya lagi.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak