Hanya tiga bulan bertahan menjadi pengendali atas talian, tiga lelaki ditahan

PADAWAN: Tiga individu dipercayai operator judi dalam talian ditahan polis dalam satu serbuan di sebuah apartment di Jalan Stapok Utama, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Padawan, Supritendan Aidil Bolhassan berkata, kesemua suspek berusia antara 20 hingga 24 tahun ditahan sepasukan polis Task Force Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Kontinjen Sarawak kira-kira jam 10.05 malam.

Menurutnya, hasil serbuan mendapati apartment berkenaan di sewa untuk dijadikan pusat judi dalam talian sementara setiap suspek diberikan gaji antara RM1,500 sebulan.

Katanya, sindiket dipercayai telah menjalankan operasi dilokasi tersebut lebih kurang tiga bulan.

“Waktu operasi sindiket ini adalah 24 jam setiap hari dimana kesemua mereka tinggal di unit apartment tersebut.

Pasukan operasi menyerbu sebuah apartment di Jalan Stapok Utama yang dijadikan sebagai pusat judi dalam talian.

“Jumlah keuntungan kasar bagi sindiket ini mencecah sehingga RM 1500 sehari dan keuntungan sebulan RM 45,000,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Aidil berkata, pasukan operasi turut merampas satu unit monitor, satu unit pemprosesan komputer, satu unit papan kekunci, satu unit tetikus, tiga unit telefon pintar dan satu unit Unifi.

Mengulas lanjut, katanya, sindiket menjalankan aktiviti mencari pelanggan melalui telefon melalui permainan judi dalam talian kiosk 918Kiss, Mega888, Pussy 888, XE 888, Newtown dan joker menggunakan bahagian ruang tetamu apartment yang disewa bagi mengaburi mata pihak polis.

Beliau berkata, setiap operator menggunakan telefon pintar dan komputer riba peribadi. Urusan ini melibatkan pasaran/pelanggan tempatan.

“Fungsi telefon pintar yang dibekalkan adalah untuk operator membuat panggilan, pemasaran, menghantar sms, whatsapp kata laluan serta ID pengguna kepada pelanggan serta promosi perjudian.

“Setiap jumlah wang pertaruhan akan dikreditkan oleh pelanggan ke beberapa akaun bank sindiket dan seterusnya slip bank akan di hantar melalui sms,whatsapp, telegram ke telefon operator dan seterusnya operator akan memberi kata laluan dan ID pengguna kepada pelanggan untuk memulakan permainan judi atas talian,” jelasnya.

Aidil berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak